Kepimpinan
Pemangkin Kepimpinan Masa Depan : Siswa Sulung USM Sertai Program Pembangunan Insaniah
Oleh : Siti Ruhaida Mohamed Radhi, Unit Media dan Penerbitan BHEPA
Sungai Bakap, SPU, 28 Julai 2026 – Seramai 137 pelajar Siswa Sulung Tahun 1 dan Tahun 2 dari seluruh kampus Universiti Sains Malaysia telah menyertai Program Pembangunan Insaniah Siswa Sulung Sidang Akademik 2025/2026 yang berlangsung di Kem Sri Impian, Sungai Bakap.
Berlangsung selama tiga hari melalui dua sesi, program anjuran Unit Kebajikan, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni ini bertujuan melahirkan mahasiswa dan mahasiswi yang holistik serta berkualiti, memiliki kecemerlangan ilmu, kemahiran kreatif dan inovatif, berakhlak mulia, berfikiran kelas pertama serta mampu berdaya saing di peringkat global selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Dikendalikan oleh 10 orang fasilitator, Program Pembangunan Insaniah Siswa Sulung USM 2026 mengaplikasikan pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman menerusi 10 modul utama iaitu Mahasiswa Negara, Sayangi USM, Pengurusan Masa, Komunikasi, Kenali Diri, Literasi Kewangan, Kepimpinan dan Kelestarian, Kembara Malam, Smart Tunnel serta Refleksi Kendiri bagi memperkukuh pembangunan sahsiah, kemahiran insaniah dan jati diri mahasiswa.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni, Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya, menyeru para peserta agar memanfaatkan sepenuhnya pengalaman yang diperoleh sepanjang program sebagai landasan pembentukan sahsiah unggul dan kepimpinan berkesan.
“Sebagai mahasiswa, peliharalah integriti yang berteraskan amanah, kejujuran dan tanggungjawab, beranilah menyahut cabaran sebagai peluang untuk mengembangkan potensi diri, dan sentiasalah menghargai pengorbanan ibu bapa serta keluarga yang menjadi sumber kekuatan dalam perjalanan mencapai kejayaan,” katanya.
Turut hadir memeriahkan program ialah Puan Siti Aishah Abdul Raffar, yang menjalankan fungsi Timbalan Pendaftar Kanan, Encik Mohd Hafiz Ali Mohd Anuar, Ketua Unit BHEPA Kampus Kejuruteraan Syed Sirajjudin, Dr. Abdul Rais Abdul Latif, Pengerusi Majlis Penggawa USM serta pegawai-pegawai BHEPA USM.
Program ini diyakini menjadi wadah transformasi unggul yang berimpak tinggi dalam melahirkan mahasiswa yang benar-benar seimbang dari segi kecemerlangan akademik, kekuatan sahsiah dan ketangkasan kepimpinan, sekali gus memperkukuh aspirasi USM untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja kompeten dan berdaya saing, malah berupaya menjadi pemacu perubahan yang signifikan dalam pembangunan negara serta kesejahteraan masyarakat sejagat.