Skip to main content
Kebajikan

BHEPA Salur Sumbangan Kebajikan Kepada Pelajar Terlibat Kemalangan Motosikal

Oleh : Unit Kebajikan, Pinjaman, Biasiswa dan Anugerah – OKU dan Siswa Sulung
PULAU PINANG, 17 Julai 2026 – Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni, Universiti Sains Malaysia terus memperkukuh komitmennya dalam menjaga kebajikan mahasiswa apabila menyalurkan sumbangan kebajikan kepada seorang pelajar yang terlibat dalam kemalangan motosikal baru-baru ini.

Dimaklumkan bahawa saudari Fatin Zulaikha Binti Yusoff, pelajar tahun akhir dari Pusat Pengajian Sains Kajihayat, telah terlibat dalam satu kemalangan motosikal di jalan susur keluar Jambatan Pulau Pinang menghala ke Gelugor baru-baru ini. Susulan daripada insiden tersebut, beliau kini sedang menerima rawatan dan memerlukan tempoh pemulihan.

Dalam sesi penyerahan yang berlangsung di Pejabat BHEPA, pihak jabatan telah menyampaikan sumbangan wang tunai serta buah tangan sebagai langkah meringankan beban yang ditanggung, selain bagi memberikan sokongan moral buat beliau sepanjang tempoh pemulihan.

Sumbangan tersebut telah disempurnakan oleh Puan Siti Aishah Abdul Raffar yang menjalankan fungsi Timbalan Pendaftar Kanan BHEPA USM.

Turut hadir memberikan sokongan serta menzahirkan solidariti warga BHEPA ialah Ketua Unit Kebajikan BHEPA, Puan Siti Meszaida Mohd Ehsan, serta Penolong Pendaftar BHEPA, Cik Khairulnisak Mohamad Zaini.

Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan BHEPA dalam memastikan kebajikan pelajar sentiasa menjadi keutamaan, khususnya dalam memberikan sokongan emosi dan bantuan kebajikan kepada pelajar yang ditimpa musibah agar mereka dapat kembali bangkit dengan semangat yang lebih kuat.

Seluruh warga Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni Universiti Sains Malaysia mendoakan agar Fatin Zulaikha dikurniakan kesembuhan yang segera, dipermudahkan segala urusan serta terus cekal meneruskan pengajian hingga berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang.