TPL_YOOTHEME_SKIP_TO_MAIN_CONTENT

BHEPA USM Santuni Pelajar Cedera Akibat Letupan Gas Steamboat

Oleh : Unit Kebajikan, Pinjaman, Biasiswa dan Anugerah – OKU dan Siswa Sulung
Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA
USM PULAU PINANG, 18 Jun 2026 – Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Universiti Sains Malaysia mengadakan ziarah kebajikan bagi menyantuni seorang pelajar tahun akhir yang melecur akibat insiden letupan peralatan gas di sebuah premis makanan di Bayan Lepas.

Dalam kejadian pada 1 Jun lalu, mangsa Nurul Asyirah merupakan pelajar dari Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan yang menetap di Desasiswa Tekun, sedang menikmati hidangan steamboat bersama rakan-rakannya.  

Peralatan memasak gas dipercayai meletup menyebabkan kuah tomyam panas tertumpah lalu mengakibatkan kecederaan melecur serius pada bahagian paha.

Asyirah yang menerima rawatan awal di sebuah klinik berhampiran kemudiannya dirujuk ke Hospital Pulau Pinang (HPP).

Beliau dilaporkan telah dimasukkan ke wad selama dua minggu dan terpaksa menjalani pembedahan pemindahan kulit (skin grafting).

Laporan perubatan turut mengesahkan kecederaan tersebut berpotensi meninggalkan kesan parut kekal. Selain meninjau perkembangan kesihatan mangsa, Unit Kebajikan BHEPA turut menyampaikan sumbangan serta sokongan moral kepada Asyirah dan keluarganya sepanjang proses pemulihan ini.

Sesi ziarah diketuai oleh Puan Siti Aishah Abdul Raffar yang menjalankan fungsi Timbalan Pendaftar Kanan BHEPA USM. Turut hadir bersama ialah  Ketua Unit Kebajikan, Puan Siti Meszaida Mohd Ehsan; Pegawai Tadbir Unit Kebajikan, Pinjaman, Biasiswa dan Anugerah (OKU dan Siswa Sulung), Cik Khairulnisak Mohamad Zain; serta Penolong Pegawai Tadbir Desasiswa Tekun, Encik Mohamad Khusaini Jamaluddin.

Ziarah tersebut diadakan sebagai tanda keprihatinan dan komitmen berterusan universiti dalam memastikan kebajikan serta kesejahteraan pelajarnya sentiasa terpelihara.

Seluruh warga BHEPA USM mendoakan agar Nurul Asyirah segera sembuh sepenuhnya, terus tabah menghadapi ujian, dan dapat kembali menyambung pengajian dengan semangat yang lebih kukuh.