Skip to main content

Siswa Sulung

Obor Harapan Keluarga : USM Perkasa Potensi 199 Siswa Sulung

Oleh : Siti Ruhaida Mohamed Radhi, Unit Media dan Penerbitan BHEPA
SUNGAI BAKAP, 31 Julai 2026 – Seramai 199 penerima Biasiswa Siswa Sulung dari Universiti Sains Malaysia telah menghimpunkan potensi diri melalui Program Pembangunan Siswa Sulung yang berlangsung dalam dua fasa bermula 27 hingga 31 Julai 2026 di Pusat Latihan Sri Impian, di sini.

Program berteraskan konsep J.E.R.I.S (Jasmani, Emosi, Rohani, Intelek & Sosial) ini direka khusus untuk melahirkan mahasiswa yang kompeten secara akademik, memiliki kemahiran insaniah tinggi, serta berminda kelas pertama bagi mengubah landskap masa depan keluarga masing-masing.

Inisiatif di bawah Unit Kebajikan, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) USM ini memberi tumpuan kepada pemerkasaan nilai kebolehpasaran graduan, termasuk aspek literasi kewangan, komunikasi berkesan, dan pengukuhan jati diri dalam mendepani cabaran akademik serta dunia kerjaya.
Mewakili suara peserta, pelajar Tahun 1 Pusat Pengajian Komunikasi yang juga diangkat sebagai penghulu program, Indra Ariffin Abdullah berkata, perjalanan di USM menjadi medan transformasi yang menguji ketahanan mental dan menggilap potensi kepimpinan saya sebagai mahasiswa.

"Sebagai anak sulung, saya memikul amanah besar sebagai pemegang obor harapan keluarga dan pembuka jalan kepada ahli keluarga saya. Pengorbanan dan cabaran yang dilalui menjadi sumber kekuatan untuk terus melangkah demi mencipta legasi yang membanggakan," ujarnya.

Senada dengan beliau, pelajar Tahun 1 Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Puteri Nurulnorhazwana Megat Anuar menyifatkan program ini sebagai platform penting dalam mencorak keperibadian serta memupuk nilai kepimpinan berteraskan integriti dan jiwa khidmat.

Pelajar dari pusat pengajian yang sama, Aravinthan Palanyappan turut berpandangan bahawa program seperti ini bertindak sebagai titik anjakan dalam membina keyakinan diri, kemahiran komunikasi, serta peribadi yang matang dan berdaya tahan.

Pelaksanaan Program Pembangunan Insaniah Siswa Sulung ini turut menjadi manifestasi iltizam USM selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 4: Pendidikan Berkualiti yang bertujuan melahirkan modal insan unggul yang mampu menerajui kemajuan negara serta memberi impak berterusan kepada masyarakat global.