Skip to main content

G3

Komponen Generik MyCSD : Kepimpinan

‘Out of Signs, Out of Mind’ Perkukuh Daya Tahan Mahasiswa Siswa Sulung

Oleh : Unit Kaunseling, BHEPA
Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA
USM, PULAU PINANG, 15 Jun 2026 – Dalam usaha memperkukuh kesejahteraan mental dan daya tahan mahasiswa, Unit Kaunseling, BHEPA dengan kerjasama Unit Kebajikan, Pinjaman, Biasiswa & Anugerah – OKU & Siswa Sulung telah menganjurkan Program Siswa Sulung Sejahtera: “Out of Signs, Out of Mind” bagi membantu pelajar generasi pertama universiti menyesuaikan diri dengan kehidupan kampus secara lebih yakin dan sejahtera.

Program yang berlangsung pada 13 Jun 2026 itu memberi tumpuan kepada pelajar Siswa Sulung Tahun 1 Sidang Akademik 2025/2026 yang merupakan generasi pertama dalam keluarga melanjutkan pengajian di USM.

Objektif kursus diadakan bertujuan bagi menyediakan sokongan psikososial yang dapat membantu mereka menyesuaikan diri dengan persekitaran universiti serta mengekalkan kecemerlangan akademik dan pembangunan diri secara holistik.

Melalui aktiviti dinamika kelompok kaunseling yang dikendalikan oleh kaunselor pelatih USM, peserta berpeluang meneroka potensi diri, berkongsi pengalaman dan memahami cabaran kehidupan di kampus.

Sebagai mahasiswa, bagi membina kesejahteraan dan daya tahan dir, mereka dilatih untuk memperkukuh kemahiran pengurusan stres, daya tindak, pengurusan emosi serta komunikasi berkesan.

Hadir semasa program berlangsung ialah Puan Raja Salwati Raja Othman, Ketua Penolong Pendaftar Unit Kaunseling BHEPA USM, Puan Anis Natasha Zulkifli, Pegawai Psikologi Unit Kaunseling BHEPA USM serta Cik Khairulnisak Mohamad Zaini, Pegawai Tadbir Unit Kebajikan, Pinjaman, Biasiswa dan Anugerah (OKU dan Siswa Sulung).

Selaras dengan SDG 3: Kesihatan Baik dan Kesejahteraan, program ini membuktikan komitmen USM dalam memastikan setiap mahasiswa Siswa Sulung bukan sahaja mampu menyesuaikan diri dengan kehidupan universiti, malah berkembang sebagai individu yang berdaya tahan, berkeyakinan dan bersedia memacu kecemerlangan pada masa hadapan.