TPL_YOOTHEME_SKIP_TO_MAIN_CONTENT

Semangat Waja Mahasiswa USM: Cabaran Peperiksaan Satukan Impian dan Tanggungjawab

Oleh : NirMaryadi Rashid, Unit Media dan Penerbitan BHEPA

USM PULAU PINANG, 9 Julai 2026 – Musim peperiksaan sering kali menjadi ujian paling getir buat mahasiswa, namun di sebalik dewan peperiksaan, terselit kisah penuh inspirasi mengenai kegigihan dan komitmen yang tersendiri.

Pelajar tahun pertama daripada Pusat Pengajian Literasi Bahasa dan Terjemahan, Sharleen Kaur A/P Miguel Singh mengamalkan disiplin tersendiri dalam mengulangkaji pelajaran.

“Saya lebih selesa mengulang kaji secara bersendirian pada waktu malam dan tidak akan tidur sehingga pagi. Selesai sahaja menduduki peperiksaan, barulah saya akan tidur.

“Rutin ini sudah sebati sejak zaman persekolahan lagi dan saya sangat risau saya tertidur,” jelasnya ketika ditemui di perkarangan dewan peperiksaan.
Dalam pada itu, komitmen yang sama turut dipamerkan oleh pelajar Rancangan Pengajian Jarak Jauh (RPJJ), Mohamad Arief Haiqal Bin Mohamad Fauzi.

“Saya bertugas sebagai pekerja sepenuh masa di Excel Rim Sdn. Bhd. Walaupun jadual sangat padat, saya tetap komited untuk menghabiskan pengajian saya.

“Sejurus selepas tamat peperiksaan, saya akan terus ke pejabat untuk kembali bertugas bagi syif petang. Keinginan untuk menimba ilmu dan meningkatkan taraf profesionalisme menjadi pembakar semangat untuk saya terus berusaha,” ujarnya.

Suasana di luar dewan peperiksaan turut mencerminkan ikatan persahabatan yang utuh. Pelajar Sarjana Pengurusan Profesional, Yap Huan Ying, yang menduduki kertas Pengurusan Strategik, mengakui bahawa kehadiran rakan-rakan memberikan suntikan moral yang besar.

Sokongan padu serta suasana kekeluargaan dalam kalangan mahasiswa nyata membantu mengurangkan tekanan dan memberikan ketenangan sebelum mereka melangkah masuk ke dewan peperiksaan.

Kecekalan yang dipamerkan oleh ketiga-tiga mahasiswa ini merupakan cerminan semangat pelajar masa kini yang kekal fokus meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran demi mencapai  kecemerlangan akademik.