Skip to main content

Inisiatif Sarapan Percuma : Bukti Keprihatinan Pengurusan USM

Oleh : NirMaryadi Rashid, Unit Media dan Penerbitan BHEPA

USM PULAU PINANG, 10 Julai 2026 – Kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa terus menjadi keutamaan pihak pengurusan tertinggi Universiti Sains Malaysia melalui inisiatif berterusan dalam menyantuni pelajar secara dekat.

Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni, Prof. Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya, telah turun padang badi bagi menyantuni para pelajar di Dewan Utama Pelajar dengan mengagihkan sarapan pagi secara percuma.

Program santuni pelajar yang berlangsung pagi tadi bukan sekadar tertumpu kepada penyediaan juadah, malah menjadi platform pertemuan dua hala antara pengurusan tertinggi universiti dan mahasiswa.

Sesi tersebut dimanfaatkan sepenuhnya bagi menyuntik semangat buat para pelajar dalam menghadapi peperiksaan.
Wan Ahmad Jaafar menyatakan bahawa inisiatif edaran sebanyak 100 bungkus sarapan pagi ini merupakan sebahagian daripada agenda cakna mahasiswa yang diutamakan oleh pihak universiti bagi memastikan kebajikan pelajar tidak terabai.

"Selain membantu mengurangkan beban kewangan pelajar melalui pemberian makanan percuma, sokongan moral daripada pihak pengurusan adalah sangat penting.

“Kami mahu pelajar berasa dihargai dan sentiasa bersemangat untuk menumpukan perhatian dalam pelajaran," ujar beliau.