Skip to main content

Dapur Siswa MADANI: Bina Jati Diri dan Kelestarian Mahasiswa USM

Oleh : NirMaryadi Rashid, Unit Media dan Penerbitan BHEPA

PULAU PINANG, 21 Julai 2026 – Dapur Siswa MADANI Universiti Sains Malaysia muncul sebagai ekosistem pembangunan insan yang strategik, bukan sekadar menyediakan akses makanan kepada mahasiswa yang memerlukan, malah berperanan sebagai platform membentuk jati diri pelajar yang berdaya tahan, prihatin, dan bertanggungjawab.

Inisiatif kebajikan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi ini yang turut dilaksanakan di sepuluh lokasi strategik di tiga kampus utama USM iaitu enam di Kampus Induk, dua di Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin, dan dua di Kampus Kesihatan ini membuktikan komitmen berterusan universiti dalam memastikan kebajikan mahasiswa sentiasa menjadi keutamaan.

Melalui penyediaan hidangan harian, beban kos sara hidup mahasiswa dapat dikurangkan, sekali gus membolehkan mereka memberikan tumpuan yang lebih efisien terhadap kecemerlangan akademik, pembangunan kepimpinan, dan sahsiah diri.
Razki Ahmad Daniel Bin Amran @ Mohammad, pelajar tahun 2 dari Pusat pengajian Bahasa,Literasi dan Terjemahan berkata, Dapur Siswa MADANI membantu saya dalam mengurangkan kos berbelanjaan universiti.

Pendapat yang sama dikongsikan oleh Ahmad Danial Bin Mansor Majdi, pelajar tahun 2 dari Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan katanya, inisiatif ini  membantu meringankan beban kewangan saya sebagai pelajar universiti.

Lebih daripada sekadar bantuan fizikal, Dapur Siswa MADANI menjadi medium penting dalam menyemai nilai-nilai Malaysia MADANI.

Melalui inisiatif ini, mahasiswa dididik untuk menghargai rezeki, mengamalkan disiplin ketika menggunakan kemudahan, serta memupuk semangat ihsan dan kebersamaan tanpa mengira latar belakang.

Pendekatan inklusif ini secara langsung membentuk komuniti kampus yang cakna serta saling menyokong antara satu sama lain, selaras dengan peranan mahasiswa sebagai tunjang nadi negara pada masa hadapan.

Selain menyentuh aspek kebajikan dan pembangunan sahsiah, inisiatif ini turut menyokong agenda kelestarian kampus.

Mahasiswa digalakkan untuk membawa bekas makanan sendiri bagi mengurangkan penggunaan plastik sekali guna dan meminimumkan pembaziran makanan.

Amalan ini bukan sahaja memupuk budaya lestari dalam kalangan warga kampus, malah mendidik mahasiswa agar lebih bertanggungjawab terhadap pemuliharaan alam sekitar.

Secara keseluruhannya, apabila keperluan asas mahasiswa dipenuhi, mereka mampu menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap proses pembelajaran dan pembangunan bakat tanpa dibelenggu kebimbangan akan keperluan harian.

Pendekatan holistik ini sejajar dengan aspirasi USM untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, tetapi turut memiliki jati diri yang kukuh serta nilai kebersamaan yang tinggi.