Skip to main content

Pelajar Sepenuh Masa Mula Duduki Peperiksaan Akhir Semester II, Sidang Akademik 2025/2026

Oleh : NirMaryadi Rashid, Unit Media dan Penerbitan BHEPA

USM PULAU PINANG, 8 Julai 2026 – Universiti Sains Malaysia sentiasa komited memastikan kelancaran peperiksaan akhir semester bagi ribuan pelajar sepenuh masa dan pelajar Rancangan Pengajian Jarak Jauh menerusi penyediaan infrastruktur peperiksaan yang kondusif serta sokongan kebajikan daripada Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

Antara lokasi dewan peperiksaan yang berlangsung pada hari ini ialah di Dewan Indah Kembara dan Dewan Utama Pelajar sebagai lokasi utama peperiksaan yang mencatatkan jumlah calon menduduki kertas Undang-undang Perniagaan (308 calon), Komunikasi Lisan untuk Sosial dan Pekerjaan (129 calon) dan Kimia Organik (92 calon).
Bagi menyuntik semangat dan memastikan kebajikan pelajar terjaga, MPP turut mengambil inisiatif proaktif dengan mengedarkan sarapan percuma kepada para calon.

Usaha murni ini bertujuan memberikan sokongan moral serta memastikan pelajar mendapat nutrisi yang mencukupi untuk kekal fokus dan tenang sepanjang menduduki peperiksaan.

Pihak pengurusan universiti dan MPP menasihatkan semua pelajar untuk menyemak jadual serta lokasi dewan peperiksaan masing-masing dengan teliti.

Pelajar juga diingatkan agar tidak meniru dan sentiasa menjaga kesihatan bagi memastikan persediaan diri berada pada tahap optimum sebelum melangkah ke dewan peperiksaan.

Langkah strategik ini dilaksanakan sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan USM dalam menyediakan ekosistem pendidikan yang berkualiti, sekali gus memastikan setiap pelajar dapat menduduki peperiksaan dalam persekitaran yang selesa dan terurus.