TPL_YOOTHEME_SKIP_TO_MAIN_CONTENT
Komponen Generik MyCSD : Kebudayaan

USM Naib Johan FESWA 2026, Gelora Warisan Dikir Barat Gegar DTSP

Oleh : Siti Ruhaida Mohamed Radhi, Unit Media dan Penerbitan BHEPA

USM, PULAU PINANG, 14 Jun 2026 – Festival Warisan Dikir Barat (FESWA) 2026 anjuran Himpunan Anak-Anak Kelantan Universiti Sains Malaysia (HAAK USM) telah berlangsung dengan penuh meriah di Dewan Tuanku Syed Putra USM, sekali gus menjadi wadah penyatuan mahasiswa pelbagai universiti dalam usaha memartabatkan seni dikir barat sebagai warisan budaya bangsa.

Mengangkat tema “Semarakkan Warisan Kita”, festival ini menjadi platform signifikan dalam memperkukuh apresiasi terhadap seni warisan Melayu yang kaya dengan nilai estetika, identiti dan jati diri, di samping memperluas penghayatan budaya dalam kalangan generasi muda di peringkat institusi pengajian tinggi.

Merasmikan program tersebut, Profesor Dr. Azizah Omar, Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar, BHEPA USM, menegaskan bahawa dikir barat bukan sekadar persembahan tradisional, sebaliknya merupakan medium pendidikan tidak formal yang menyampaikan ilmu, nasihat dan nilai kehidupan kepada masyarakat.

“Keunikan seni ini terserlah melalui gabungan irama, kreativiti lirik, semangat berpasukan dan kebijaksanaan berbahasa yang mencerminkan kehalusan budaya Melayu,” ujarnya.

Turut menyerikan majlis ialah kehadiran Encik Mohd Azam Juhari, Ketua Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-Kanak dan Remaja, DBP; Encik Mohd Zuaril Akimi Mohd Shaari, Penasihat HAAK USM; serta Saudara Muhammad Afiq Hasraf Hazly, Naib Yang Dipertua 1 MPP USM yang turut menyokong penganjuran berteraskan budaya ini.

Selaku Pengarah Program, Saudara Hikmal Mustaqim Ishak menzahirkan komitmen HAAK USM dalam memperkukuh agenda pemerkasaan seni, budaya dan warisan sebagai sebahagian daripada pembangunan mahasiswa yang holistik, progresif dan beridentiti.

Festival ini menghimpunkan penyertaan enam universiti iaitu UM, UKM, USM, UPM, UUM dan UiTM, sekali gus mencipta ruang kompetitif yang sihat dalam mengangkat seni dikir barat sebagai medium ekspresi kreatif dan penyatuan mahasiswa di peringkat nasional.

Pertandingan yang berlangsung penuh sengit itu menyaksikan UiTM dinobatkan sebagai Johan FESWA 2026 serta turut meraih anugerah Tukang Karut Terbaik dan Muzik Terbaik, diikuti USM sebagai Naib Johan yang turut membawa pulang anugerah Tok Jogho Terbaik, manakala UM melengkapkan senarai pemenang dengan meraih Tempat Ketiga, sekali gus membuktikan keunggulan bakat dan komitmen mahasiswa dalam memartabatkan seni dikir barat sebagai warisan budaya bangsa.

Menutup tirai festival dengan penuh gemilang, suasana dewan turut dimeriahkan dengan penampilan istimewa Ara Johari yang menghiburkan para hadirin dan melengkapkan malam FESWA 2026.

Senarai Pemenang:

Johan : Universiti Teknologi Mara (Armada Cakawati)
Naib Johan : Universiti Sains Malaysia (Suara Sri Mutiara)
Tempat ketiga : Universiti Malaya (Basa Diwana)

Tukang Karut Terbaik : Universiti Teknologi Mara (Armada Cakawati)
Muzik Terbaik : Universiti Teknologi Mara (Armada Cakawati)
Tok Jogho Terbaik : Universiti Sains Malaysia (Suara Sri Mutiara)