Skip to main content
Komponen Generik MyCSD : Kebudayaan

USM Tempat Ke-3 Malam Citra Bayu Ke-18, Serlah Warisan Seni Tari Sabah

Oleh : NirMaryadi Rashid, Unit Media dan Penerbitan BHEPA

USM PULAU PINANG, 6 Jun 2026 – Malam Citra Bayu Ke-18 Serlah Warisan Tari Sabah, Satukan Mahasiswa Pelbagai Universiti dengan mengangkat tema “Dentang Kalawon, Megar Tradisi Tari”, anjuran Pertubuhan Siswa-Siswi Sabah Universiti Sains Malaysia (PERSIS USM) berlangsung meriah di Dewan Tuanku Syed Putra, USM, sebagai platform memartabatkan seni tari dan warisan budaya Sabah, di samping memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan mahasiswa.

Tema yang diketengahkan sarat dengan makna apabila “Dentang” melambangkan gema langkah dan suara yang terus bergema merentas generasi, “Kalawon” mencerminkan keberanian yang menjadi teras kekuatan masyarakat Sabah, manakala “Megar” menggambarkan tekad untuk mengangkat tradisi tari Sabah ke tahap yang lebih tinggi agar terus relevan, dihargai dan diwarisi oleh generasi masa kini serta akan datang.

Penganjuran edisi kali ini menghimpunkan penyertaan daripada lapan buah institusi pengajian tinggi iaitu USM, UiTM Shah Alam, UMT, UNISEL, UPM, UKM, UUM dan UMS sekali gus memperkukuh jaringan persahabatan, menyemarakkan semangat kebersamaan serta memperluas apresiasi terhadap kepelbagaian budaya dalam kalangan mahasiswa.

Tuan Jordan Jude Ellron, Pembantu Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, dalam ucapan perasmiannya menegaskan bahawa seni budaya tarian merupakan warisan berharga yang mencerminkan identiti sesuatu bangsa dan perlu terus dipelihara serta diperkasakan oleh generasi muda sebagai khazanah yang tidak ternilai.
“Saya percaya bahawa penganjuran program seperti ini mampu menjadi platform yang menyatukan masyarakat Malaysia, khususnya mahasiswa dan mahasiswi universiti, dalam memperkukuhkan semangat perpaduan serta menghidupkan pertukaran budaya daripada pelbagai negeri dan latar belakang di negara kita,” ujarnya.

Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar BHEPA, Prof. Dr. Azizah Omar, yang mewakili Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni USM, menyifatkan inisiatif yang digerakkan oleh PERSIS USM sebagai usaha signifikan dalam memastikan warisan budaya Sabah terus dipelihara, dipromosikan dan dimartabatkan dalam kalangan generasi muda.

Selaku Pengarah Projek, saudari Nazurah Nabilah Willian menyifatkan program ini sebagai wadah penting dalam memperkenalkan dan mengangkat keunikan budaya Sabah kepada warga kampus serta masyarakat umum, selain menjadi medium untuk memperkukuh penghargaan terhadap warisan seni yang kaya dengan nilai dan identiti.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Puan Andy Siti Nurhidayah Rahim, Pegawai Kebudayaan Kanan, Dewan Budaya USM merangkap Penasihat PERSIS USM, serta saudara Gulam Nor Ahmad Khan Norzaman, Yang Dipertua PERSIS USM.

Malam Citra Bayu Ke-18 melabuhkan tirainya dengan penuh gemilang menerusi persembahan khas penyanyi terkenal kelahiran Sabah, Stacy yang memukau para hadirin dengan persembahan bertenaga dan penuh karisma.