Pentas Keemasan, Warisan Jiwa : Menelusuri Cahaya di Sebalik Tabir
Oleh : NirMaryadi Rashid, Unit Media dan Penerbitan BHEPA
USM PULAU PINANG, 23 Jun 2026 – Dewan Tuanku Syed Putra, Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Induk baru-baru ini menjadi saksi kepada sebuah pertemuan magis antara seni dan nurani, menyaksikan hampir 1,200 penonton daripada pelbagai latar belakang disatukan dalam Konsert Amal Tahunan USM Jazz Band ke-28 yang bertemakan “Golden – Light of Legacy”.
Malam tersebut bukan sekadar manifestasi muzik, malah menjadi medan untuk berkongsi cerita di sebalik tabir.
Persembahan yang penuh emosi pada 21 Jun 2026 itu digerakkan oleh 108 orang penggiat seni yang terdiri daripada warga Institut Pendidikan Guru, barisan pensyarah, alumni, Protégé USM, Kumpulan Tarian Naga serta USM Jazz Band sendiri.
Di bawah pimpinan konduktor muzik, Puan Azreen Harlina Azizan, setiap 18 persembahan yang dipentaskan melalui gabungan muzik moden, seni visual, tarian dan nyanyian telah membawa penonton menyelami peranan dalam memupuk dan mengembangkan sebuah tradisi yang dimulakan.
Kemuncak acara menyaksikan penyerahan sumbangan hasil kutipan tiket berjumlah RM3,000 kepada Pertubuhan Rumah Kebajikan Seri Cahaya, Pulau Pinang, sebagai simbol kasih sayang terhadap golongan yang memerlukan.
Acara gilang-gemilang ini turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni, Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya; Mantan Naib Canselor USM, Profesor Emeritus Tan Sri Dato' Dzulkifli Abdul Razak, Pengarah Dewan Budaya merangkap Penasihat USM Jazz Band, Encik Norhelmi Othaman; Presiden USM Jazz Band 2026, Saudari Isabel dan tetamu kenamaan lain.
Konsert amal ini bukan sekadar persembahan muzik, melainkan sebuah refleksi tentang kekuatan jiwa yang bukannya ditemui begitu saja malah diwarisi, dibentuk dari masa ke semasa dan menjadi lebih bermakna dengan setiap pasangan tangan yang memegangnya.