FEStKUM 2026 Satukan 19 Universiti Awam, Seni Tradisional Kekal Relevan
Oleh : NirMaryadi Rashid, Unit Media dan Penerbitan BHEPA
USM PULAU PINANG, 24 Mei 2026 :- Universiti Kebangsaan Malaysia melakar sejarah manis apabila dinobatkan sebagai juara keseluruhan Festival Kebudayaan Universiti Malaysia (FEStKUM) 2026 yang melabuhkan tirainya dengan penuh gilang-gemilang di Dewan Pembangunan Siswa 1, Universiti Sains Malaysia (USM).
Kejayaan bermakna itu menyaksikan UKM mendominasi beberapa acara utama sekali gus mengetepikan saingan sengit daripada 19 buah universiti awam lain dari seluruh negara dalam festival tiga hari yang berlangsung sejak 21 Mei 2026.
Penganjuran FesKUM edisi tahun ini menampilkan keunikan tersendiri dengan mempertaruhkan tujuh acara pertandingan.
Bagi mengimbangi dinamika semasa, empat daripada acara tersebut telah dilaksanakan secara atas talian yang merangkumi pertandingan teater monolog, instrumental muzik, tarian kreatif Malaysia, dan deklamasi sajak, manakala tiga lagi pertandingan dijalankan secara fizikal yang menjadi medan dinamik buat para mahasiswa untuk menonjolkan kebitaraan bakat serta kreativiti seni masing-masing.
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, yang hadir menyerikan kemuncak pertandingan nyanyian Irama Malaysia sekali gus merasmikan majlis penutupan program tersebut, menyatakan penghargaan tertingginya terhadap usaha berterusan daripada seluruh institusi yang terlibat.
Beliau memuji keaktifan universiti awam dalam memartabatkan seni tradisional dan budaya tempatan agar terus subur dan relevan mendepani arus globalisasi yang sarat dengan kepesatan teknologi.
“Komitmen murni seperti ini adalah sangat penting bagi memastikan khazanah warisan bangsa serta identiti negara tidak lenyap ditelan zaman, sebaliknya terus dipelihara dengan rapi untuk diwariskan kepada generasi yang akan datang,” ujarnya semasa menyampaikan ucapan perasmian penutup.
Dalam pada itu, Pengerusi Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (MAKUM) 2026 yang juga merupakan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni USM, Prof. Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya, turut menzahirkan rasa bangga ke atas dedikasi serta komitmen padu yang dipamerkan oleh seluruh delegasi.
Menurut beliau, penghormatan yang diberikan kepada USM selaku tuan rumah pada tahun ini amat bermakna dalam usaha menyatukan ratusan bakat muda, sekali gus memelihara warisan seni budaya dalam kalangan mahasiswa pascamoden.
Seiring dengan kehadiran delegasi mahasiswa daripada 19 buah universiti awam pada malam kemuncak tersebut, festival ini jelas membuktikan impak positifnya dalam mengukuhkan lagi rasa jati diri, jalinan perpaduan yang jitu, serta menyuburkan rasa cinta yang mendalam terhadap kepelbagaian warisan budaya yang menjadi tonggak kekuatan negara.
Penganjuran FesKUM 2026 ini diharapkan akan terus konsisten berfungsi sebagai platform terbaik dan rujukan utama dalam memperkasakan bakat seni budaya mahasiswa universiti di Malaysia.
Sinergi strategik ini diyakini mampu melahirkan barisan graduan holistik yang bukan sahaja cemerlang dari segi pencapaian akademik, malah memiliki jiwa, nilai murni, serta identiti kebudayaan yang tinggi.
Majlis kemuncak dan upacara penutupan yang penuh gilang-gemilang itu turut diserikan dengan kehadiran Ketua Penolong Pengarah Seksyen Penyerlahan Bakat, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, JPT-KPT, Puan Wan Noor Sheila Mior Sharifuddin.
Hadir sama ialah barisan pegawai kanan Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) USM serta barisan tetamu jemputan khas MAKUM.