Komponen Generik MyCSD : Kebudayaan
ADIKARYA : Dua Dunia, Satu Jiwa Satukan Warisan dan Kreativiti Mahasiswa USM
Oleh : Siti Ruhaida Mohamed Radhi, Unit Media dan Penerbitan BHEPA
USM PULAU PINANG, 28 Jun 2026 – Kumpulan Kesenian ADIKARMA, Universiti Sains Malaysia sekali lagi menghidupkan denyut nadi seni budaya kampus menerusi pementasan teater muzikal ADIKARYA: Dua Dunia, Satu Jiwa di Dewan Tuanku Syed Putra.
Berinspirasikan filem Magika, pementasan ini merentasi sempadan realiti dan fantasi dengan bakat lakonan, persembahan tarian serta muzik secara langsung dalam sebuah naratif yang penuh warna dan makna, sekali gus mengajak penonton menghayati keindahan warisan budaya yang diterjemahkan melalui sentuhan artistik generasi muda.
Di bawah pimpinan Pengarah Projek, Saudara Lim Hong En, pementasan ini mengetengahkan lapan persembahan tarian yang diperkukuhkan dengan koreografi bertenaga, muzik secara langsung dan elemen dramatik, mencerminkan sinergi, dedikasi serta profesionalisme seluruh warga produksi dalam menghasilkan sebuah persembahan yang memukau dan meninggalkan kesan mendalam kepada penonton.
Hadir memeriahkan majlis ialah Pengarah Dewan Budaya USM, Encik Norhelmi Othaman, menjalankan fungsi Timbalan Pendaftar Kanan BHEPA USM, Puan Siti Aishah Abdul Raffar, serta Penolong Pengarah Kanan, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Pulau Pinang, Encik Zurairi Hanip.
Turut hadir ialah Penasihat Kumpulan Kesenian Adikarma, Encik Mohd Nur Badri Mohd Nazli, Setiausaha Agung MPP USM, Saudara Muhammad Nazmiuddin Mohamad Nasir, serta YDP ADIKARMA, Saudara Darryljoe Peter.
Menampilkan watak-watak ikonik seperti Badang, Bawang Putih dan Bawang Merah, Pak Pandir serta Mak Andir, pementasan ini menghidupkan kembali khazanah cerita rakyat dalam sebuah pementasan warisan, imaginasi dan seni persembahan generasi masa kini.
Lebih daripada sekadar sebuah pementasan, ADIKARYA: Dua Dunia, Satu Jiwa membuktikan bahawa apabila warisan bertemu kreativiti, lahirlah karya yang menyatukan seni dengan jiwa, menghubungkan tradisi merentasi generasi, serta memartabatkan khazanah budaya sebagai legasi masa hadapan