Gambar atas : Profesor Dr. Azizah Omar bergambar bersama para pemenang
FEKAZ IV : USM Johan Keseluruhan, Serlah Kecemerlangan Tarian Zapin
Oleh : Siti Ruhaida Mohamed Radhi, Unit Media dan Penerbitan BHEPA
USM PULAU PINANG, 24 Mei 2026 – Membawa misi melestarikan khazanah warisan Melayu tradisional, Festival Kesenian Zapin (FEKAZ) kini kembali menggegarkan pentas Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP), USM buat edisi ke-IV.
Dianjurkan oleh Ikatan Mahasiswa Johor (IKMAR) USM, festival ini menjadi platform ampuh dalam memastikan keunikan seni tari Zapin yang sarat dengan nilai kesantunan dan disiplin tinggi terus subur serta dihayati oleh generasi mahasiswa hari ini.
Mengangkat tema “Rentak Zapin Bergema, Warisan Jauhar Bertakhta”, acara gilang-gemilang ini juga berjaya menghimpunkan mahasiswa daripada pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT).
Penyertaan meluas ini sekali gus menterjemahkan peranan FEKAZ sebagai wadah utama dalam memartabatkan seni warisan zapin sebagai lambang budaya dan identiti bangsa agar kekal relevan merentas zaman.
Timbalan Pengarah (Pengurusan) Institut Dato’ Onn, Dr. Mohd Azlan Ab. Jalil menzahirkan penghargaan terhadap usaha mahasiswa dalam memartabatkan seni tradisional agar terus relevan dan dihargai oleh generasi masa kini.
“Warisan budaya seperti zapin bukan sekadar persembahan seni, tetapi merupakan lambang jati diri, kesatuan masyarakat dan khazanah bangsa yang perlu terus dipelihara agar tidak lapuk ditelan zaman,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar, BHEPA USM, Profesor Dr. Azizah Omar menyifatkan FEKAZ sebagai platform strategik dalam mencungkil bakat mahasiswa di samping memperkasakan nilai kepimpinan dan kecintaan terhadap warisan budaya tempatan.
“Penglibatan aktif mahasiswa dalam program berteraskan seni dan budaya mampu melahirkan graduan holistik yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mempunyai nilai insaniah serta identiti budaya yang kukuh,” ujarnya.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Ts. Chm. Dr. Mohd Ridhwan, Penasihat FEKAZ, saudari Fadzlin Najwa, Timbalan Presiden II Gabungan Mahasiswa Johor, saudara Muhammad Iman Danish Mohd Izaki, YDP IKMAR dan saudari Alisha Sofea Muhd Hafeez, Bendahari Kehormat MPP USM.
Program yang diterajui oleh Pengarah Projek, saudari Ummi Nur Rizwanny Mohd Ali itu turut menyaksikan penyertaan lapan institusi pengajian tinggi iaitu Universiti Kuala Lumpur MITEC, Universiti Sains Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia, German-Malaysian Institute, Universiti Utara Malaysia, Universiti Putra Malaysia serta Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah.
USM berjaya mengungguli FEKAZ edisi ke-IV apabila dinobatkan sebagai johan keseluruhan sekali gus membawa pulang hadiah utama wang tunai bernilai RM2,000, selain merangkul anugerah Koreografi Terbaik yang turut disertakan dengan hadiah wang tunai RM200.
UPM muncul sebagai naib johan bersama anugerah Busana Terbaik, diikuti UTM di tempat ketiga dan GMI yang membawa pulang Anugerah Khas Juri.
Kemeriahan FEKAZ edisi ke-IV turut diserikan dengan penampilan penyanyi Aziz Harun sekali gus menutup tirai festival penuh gemilang yang berjaya mengangkat martabat seni warisan zapin di persada generasi muda.