Skip to main content

BHEPA Komited Pastikan Kebajikan Pelajar Terus Terpelihara

Oleh : Hafiz Meah Ghouse Meah, Sektor Latihan, Kepimpinan dan Kesukarelawanan, Pusat Pembangunan Pelajar BHEPA
PULAU PINANG, 9 Julai 2026 – Universiti Sains Malaysia terus komited memastikan kebajikan serta kesejahteraan mahasiswa sentiasa menjadi keutamaan, termasuk dalam aspek penempatan penginapan di desasiswa.

Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni, Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya berkata, setiap sesi akademik menyaksikan permintaan terhadap penginapan di desasiswa adalah sangat tinggi dan melebihi kapasiti sedia ada.

Sehubungan itu, proses penempatan dilaksanakan secara teliti berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan bagi memastikan agihan dibuat secara adil dan berhemah.

“USM sentiasa berusaha menambah baik sistem penempatan dan rayuan, di samping mengoptimumkan penggunaan kapasiti penginapan yang ada agar lebih ramai pelajar dapat dibantu sepanjang sesi pengajian.

"USM memahami bahawa penginapan merupakan antara keperluan penting mahasiswa. Oleh itu, pelbagai usaha berterusan sedang dilaksanakan bagi memastikan kebajikan pelajar sentiasa terpelihara, termasuk memperkukuh sokongan kepada pelajar yang tinggal di luar kampus melalui akses kepada kemudahan kampus serta pelbagai inisiatif kebajikan yang disediakan oleh universiti.

“Majoriti pelajar berjaya meneruskan pengajian dengan baik sama ada menetap di desasiswa mahupun di luar kampus. USM sentiasa memastikan semua mahasiswa mempunyai akses yang sama kepada kemudahan akademik, pembangunan sahsiah, aktiviti kokurikulum dan perkhidmatan sokongan universiti.

"Keutamaan kami adalah memastikan setiap mahasiswa dapat belajar dalam persekitaran yang kondusif, selamat dan menyokong kecemerlangan akademik serta pembangunan diri.

"Kami juga menghargai kerjasama dan kefahaman semua pelajar dalam bersama-sama membina komuniti kampus yang harmoni,” ujarnya lagi.

USM akan terus meneliti pelbagai pendekatan strategik bagi memperkukuh ekosistem penginapan mahasiswa demi memastikan pengalaman pembelajaran yang berkualiti serta kebajikan warga kampus terus diperkasakan.