Skip to main content
Kebajikan

Pelajar Antarabangsa USM Kritikal : Suami Terbang Dari China Selepas Dikhabarkan Isteri Alami Pendarahan Otak

Oleh : Unit Kebajikan BHEPA

Siti Meszaida (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan ehsan kebajikan pelajar BHEPA kepada suami Kan Lijun.

PULAU PINANG, 3 Ogos 2026 – Suasana hiba menyelubungi Hospital Pulau Pinang (HPP) hari ini apabila seorang pelajar antarabangsa Universiti Sains Malaysia (USM) dilaporkan berada dalam keadaan kritikal selepas mengalami pendarahan kecil pada bahagian otak secara mendadak.

Kan Lijun, warganegara China yang mengikuti pengajian di Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ) USM, mula mendapati dirinya tidak sihat selepas mengalami sakit kepala sebelum mendapatkan rawatan awal di Hospital Lam Wah Ee pada 2 Ogos 2026. Hasil pemeriksaan awal termasuk imbasan tomografi komputer (CT scan) mengesan kemungkinan berlakunya pendarahan kecil pada bahagian otaknya.

Keadaan kesihatan Lijun kemudiannya merosot dengan cepat dan bertukar kritikal selepas beliau dipindahkan ke Hospital Pantai Pulau Pinang untuk pemeriksaan lanjut sehingga menyebabkan beliau tidak sedarkan diri.

Atas nasihat pakar, Lijun segera dirujuk ke HPP bagi membolehkan rawatan kecemasan serta pemantauan rapi dijalankan oleh pasukan perubatan pakar.

Berita cemas itu turut mengejutkan ahli keluarganya di China. Suami Lijun bersama anaknya dilaporkan bergegas menaiki penerbangan dan tiba di Malaysia pada pagi ini sejurus selepas mendapat tahu mengenai keadaan kritikal isterinya.

Menyedari nasib menimpa pelajar tersebut, pihak universiti bertindak pantas dengan mengadakan usaha ziarah kebajikan yang diketuai oleh Ketua Unit Kebajikan BHEPA, Puan Siti Meszaida Mohd Ehsan, bersama Penolong Pendaftar BHEPA, Cik Khairulnisak Mohamad Zaini, serta Ketua Penolong Pendaftar Pejabat Antarabangsa USM, Cik Moganeswary A/P Muthusamy\.

 “Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni (BHEPA) USM menegaskan bahawa pihak universiti kekal komited dalam memelihara kebajikan seluruh warga kampus, termasuk pelajar antarabangsa.

“USM sentiasa memastikan sokongan serta bantuan sewajarnya disalurkan ketika pelajarnya berdepan situasi kecemasan, di samping mendoakan agar Kan Lijun segera diberikan kesembuhan serta dipermudahkan segala urusan keluarga beliau,” ujar Siti Meszaida lagi.