Komponen Generik MyCSD | Sukan
USM Ungguli Pesta Hoki USM-Penang International Ke-49, Rangkul Piala Pusingan DYMM Sultan Azlan Shah
Oleh : NirMaryadi Rashid, Unit Media dan Penerbitan BHEPA
PULAU PINANG, 15 November 2026 – Sebanyak 185 pasukan dari dalam dan luar negara menghangatkan saingan Pesta Hoki USM-Penang International (PHI) edisi ke-49 yang berlangsung selama tiga hari bermula 13 November di Padang Minden dan Stadium Hoki, Kampus Induk Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.
Kejohanan berprestij yang dianjurkan sejak tahun 1973 oleh Pusat Sukan dan Rekreasi USM dengan kerjasama Sekretariat Pesta Hoki itu terus menjadi platform kegemaran peminat sukan hoki apabila turut mempertandingkan kategori 12, 15 dan 18 tahun serta kategori utama menerusi saingan Premier League, Classic Men’s Open, dan Classic Women’s Open.
Hari terakhir menyaksikan pasukan hoki Universiti Sains Malaysia, USM B melakar sejarah gemilang apabila dinobatkan sebagai juara kategori Lelaki Terbuka Premier pada kejohanan Pesta Hoki USM-Penang International Kali Ke-49 yang melabuhkan tirainya di Stadium Hoki USM semalam.
Kemenangan mutlak itu diraih selepas skuad mahasiswa USM B berjaya menewaskan pasukan Rajawali Ultra dengan jaringan 2-0 dalam aksi perlawanan akhir yang berlangsung sengit.
Kejuaraan tersebut membolehkan USM B membawa pulang trofi berprestij, Piala Pusingan DYMM Sultan Azlan Shah, berserta piala iringan, pingat, hadiah wang tunai berjumlah RM3,000 serta barangan tajaan daripada MILO Malaysia dan Afta Motor Sdn. Bhd.
Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Tuan Chow Kon Yeow yang hadir menyaksikan perlawanan akhir dan menyempurnakan majlis penutup serta penyampaian hadiah menzahirkan rasa bangga terhadap kelangsungan kejohanan bersejarah yang mula diperkenalkan sejak tahun 1973 itu.
"Saya amat berbangga melihat kejohanan ini terus berkembang dengan nilai sejarahnya yang tersendiri. Lebih membanggakan, penganjuran acara berskala besar ini diterajui sepenuhnya oleh mahasiswa USM, membuktikan keupayaan mereka bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah unggul dalam aspek kepimpinan dan pengurusan," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Pesta Hoki USM-Penang International Kali Ke-49, Dhinesaan Ravichandran menyifatkan kejohanan tersebut sebagai satu tradisi yang telah lama menjadi identiti sukan universiti berkenaan.
"Penganjuran yang kini memasuki edisi ke-49 membuktikan komitmen berterusan USM dalam menyediakan platform terbaik kepada para atlet untuk mengasah bakat, meningkatkan prestasi serta menguji kemampuan diri dalam suasana pertandingan yang kompetitif," ujar beliau.
Majlis penutup kejohanan tersebut turut diserikan dengan kehadiran Exco Belia, Sukan dan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, YB Daniel Gooi Zi Sen; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya; Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi USM, Profesor Dr. Hairul Anuar Hashim; serta Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang, Encik Mohd Fadhil Mohamad.
Turut hadir ialah Pengurus Kawasan Jualan Cuckoo International (M) Bhd., Encik Mohamed Hizir Ali, barisan jawatankuasa penganjur kejohanan serta pegawai-pegawai Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) USM.