TPL_YOOTHEME_SKIP_TO_MAIN_CONTENT
Komponen Generik MyCSD : Sukan

USM Falcons Terus Cemerlang : Juara Liga Sukan Komuniti Peringkat Negeri Pulau Pinang 2026

Oleh : Pasukan Bola Tampar USM Falcons. - Foto : Jabatan Belia & Sukan Negeri Pulau Pinang
Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA
PULAU PINANG, 6 Julai 2026 – Rentetan kejayaan gemilang merangkul gelaran Pasukan Sukan Terbaik di Malam Anugerah Sukan USM 2026 pada 16 Jun 2026 yang lalu, Pasukan Bola Tampar USM Falcons terus melakar kecemerlangan dan kembali menyengat di gelanggang.

Mewakili Zon Seberang Perai Tengah (SPT) pada 4 Julai 2026 selaku juara zon, skuad bola tampar lelaki USM telah mempamerkan semangat berpasukan yang jitu serta aura kepimpinan yang tinggi di setiap sudut gelanggang.

Mereka berjaya menakluk Kejuaraan Liga Sukan Komuniti (LSK) Peringkat Negeri Pulau Pinang 2026 dengan penuh bergaya, mendominasi setiap perlawanan dari awal hingga ke pentas akhir tanpa tewas walau satu set pun.

Ini adalah manifestasi sebenar motto keramat USM, "Kami Memimpin", di mana mahasiswa USM terus menerajui dan meletakkan penanda aras tertinggi dalam arena sukan.
Kejayaan menjulang trofi ini adalah hasil sinergi dan strategi taktikal yang mantap pasukan dalam menundukkan setiap lawan di peringkat Kumpulan - Penang Old Boys (31-22), Itikaye VC (31-24), Ronin (31-18) dan Kandaq VC (31-30).

Di peringkat separuh akhir, USM Falcons mengekalkan momentum cemerlang dengan menundukkan Black Pearl VC (31-18).

Kemuncak keunggulan mereka terserlah di pentas akhir apabila mencatatkan kemenangan mutlak dua set tanpa balas ke atas Itikaye VC (25-19, 25-19sekali gus mengesahkan takhta USM Falcons sebagai kuasa bola tampar yang paling dominan di Pulau Pinang!

Kejayaan ini bukanlah satu kebetulan, sebaliknya ia adalah kemuncak kepada empat tahun latihan berstruktur yang penuh liku serta ketahanan mental yang ampuh hasil bimbingan jurulatih.

Segala keringat, disiplin, dan komitmen para pemain membuktikan bahawa mahasiswa USM sentiasa menjiwai agenda H.E.B.A.T.

Mereka menterjemahkan kualiti mahasiswa yang Holistic (Holistik) dan Balanced (Seimbang) di antara akademik dan sukan, bijak mengatur strategi atau Thinking (Berfikir) dalam keadaan genting, serta sentiasa proaktif memacu keupayaan pasukan secara bersama.

Kapten pasukan, Kordineil Rezod (Tahun 4, Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam) menyifatkan kejuaraan ini adalah hadiah perpisahan terbaik untuk pasukan dan universiti.

“Segala pengalaman yang saya tempuhi sepanjang berada dengan USM Falcons akan menjadikan saya seorang insan yang lebih berdaya tahan di masa hadapan,” ujar beliau dengan penuh yakin.

Mohd Eizlan Ilham Bin Bobi (Tahun 4, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan) yang menjadi tonggak utama pasukan turut menzahirkan kesyukuran dan berterima kasih kepada semua rakan sepasukan dan jurulatih yang telah bekerja keras membawa USM Falcons ke aras yang lebih baik semenjak beliau menyertai pasukan ini dari tahun pertama pengajian lagi.

Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada wira-wira USM Falcons kerana berjaya melakar sejarah baharu buat pasukan bola tampar USM!

Sekalung penghargaan juga didedikasikan kepada Pusat Sukan & Rekreasi USM atas sokongan padu yang tidak berbelah bahagi dalam memudahkan urusan latihan dan pertandingan pasukan.

Terus terbang tinggi, Falcons! Kami Memimpin.