Skip to main content

Otter Spin USM Unggul Sukan Frisbee Kategori Pool B Game of Throws VII : Baratheon

Oleh : Otter Spin USM
Foto : AFCreativeSport/ Otter Spin USM
Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA

USM PULAU PINANG, 29 Mei 2026 – Pasukan Otter Spin Universiti Sains Malaysia, terus mengukir kecemerlangan apabila berjaya merangkul gelaran johan sukan frisbee kategori Pool B dalam kejohanan Game of Throws VII : Baratheon yang berlangsung di Padang Hoki Universiti Utara Malaysia pada 23 hingga 24 Mei 2026 baru-baru ini.

Ultimate frisbee merupakan sukan berpasukan tanpa sentuhan yang dimainkan menggunakan cakera terbang (frisbee) serta menuntut kepantasan, strategi dan koordinasi tinggi, sekali gus menjadikan kejohanan ini medan persaingan yang mencabar buat setiap pasukan bertanding.

Seiring dengan tahap kompetitif sukan tersebut, kejohanan berprestij itu turut menghimpunkan sebanyak 16 pasukan daripada institusi pengajian tinggi, sekolah dan komuniti frisbee tempatan serta antarabangsa, termasuk penyertaan dari negara Singapura yang menyemarakkan lagi persaingan sepanjang pertandingan berlangsung.

Dalam persaingan yang sengit itu, Otter Spin yang diterajui oleh Putera Muhammad Syed Datul Putra Iazmee dari Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan (HBP) tampil dengan aksi cemerlang menerusi corak permainan yang tersusun, agresif dan penuh taktikal sehingga berjaya mengekalkan momentum kemenangan sepanjang kejohanan.

Kecemerlangan ini menjadi bukti keupayaan atlet USM untuk bersaing di pentas nasional, sekali gus menyerlahkan disiplin dan semangat juang yang membentuk kepimpinan dan ketahanan mental menerusi sukan ultimate frisbee.

Pencapaian ini turut membuka ruang jaringan komuniti sukan yang lebih luas, di samping memperkukuhkan usaha USM dalam melahirkan mahasiswa holistik yang seimbang antara ilmu, sahsiah dan kecemerlangan kokurikulum.

Seluruh warga Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni Universiti Sains Malaysia merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada pasukan Otter Spin atas kejayaan yang membanggakan ini, semoga kecemerlangan yang dilakar terus mekar sebagai inspirasi dan pemangkin kepada lebih banyak kejayaan gemilang pada masa hadapan.