Skip to main content

SINERGI SUKAN FRISBEE MAHASISWA DAN KOMUNITI: OTTER SPIN USM CIPTA IMPAK POSITIF

USM PULAU PINANG, 22 April 2026 – Pasukan frisbee pelajar Universiti Sains Malaysia, Otter Spin, membuktikan kehebatan mereka apabila berjaya meraih gelaran Naib Johan dalam kejohanan Summer Invitation Tournament yang berlangsung di D’Futsal Centre, Kepala Batas, Kedah, baru-baru ini.

Kejayaan tersebut bukan sahaja menonjolkan kualiti atletik yang luar biasa dalam kalangan mahasiswa, malah memperkasakan sinergi antara kelab universiti dan komuniti luar dalam mengangkat prestij sukan ultimate frisbee ke tahap yang lebih profesional.

Pasukan Otter Spin yang diterajui oleh Putera Muhammad Syed Datul Putra Lazmee dari Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan (HBP) bersama lapan ahli pasukan yang lain, tampil cemerlang sepanjang kejohanan tersebut. Penyertaan ini dilihat sebagai pelaburan strategik bagi mendapatkan pendedahan luas, selain membina jati diri serta kemahiran sosial yang mampan di luar bilik kuliah.

Kejohanan anjuran Kelab Komuniti Frisbee ini menyaksikan persaingan sengit daripada sembilan pasukan yang melibatkan seramai 131 peserta.

Antara institusi dan pasukan yang menyertai acara tersebut termasuklah X-Gryphon (Politeknik), Utara Blues (UUM), serta beberapa pasukan kategori terbuka dan sekolah menengah seperti Team R, Meowtain-Dew, Silverback, B&W, Hupseng, dan UXD.

Selain menggalakkan gaya hidup aktif dalam kalangan belia dan mahasiswa, memupuk kesejahteraan fizikal dan mental melalui platform pertandingan yang sihat dan mengeratkan silaturahim serta jaringan kerjasama antara pelbagai institusi pendidikan dan kelab komuniti, pencapaian memberangsangkan Otter Spin ini bukan sahaja mencerminkan kecemerlangan pelajar USM dalam bidang kokurikulum, malah selari dengan agenda Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 3: Kesihatan Baik dan Kesejahteraan.

Teks / foto : Xin Ran, Otter Spin
Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA