TPL_YOOTHEME_SKIP_TO_MAIN_CONTENT
Komponen Generik MyCSD | Sukan

Dominasi Penuh Pacu USM Falcons Ungguli Kejohanan Bola Tampar Campuran Merbok 2026

Oleh : USM Falcons
Foto : Kelab Belia Tiong Hwa Sungai Petani
Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA
PULAU PINANG, 12 November 2026 – Aksi bertenaga dan dominasi penuh di gelanggang membolehkan pasukan bola tampar Universiti Sains Malaysia (USM), USM Falcons muncul juara Kejohanan Bola Tampar Campuran Merbok 2026 di Gelanggang Bola Tampar Pekan Merbok.

Menampilkan saingan sengit yang menghimpunkan 16 pasukan keseluruhan terdiri daripada institusi pengajian tinggi (IPT) serta kelab-kelab bola tampar sekitar wilayah utara merangkumi Kedah dan Pulau Pinang, kejohanan dua hari ini dianjurkan oleh Kelab Belia Tiong Hwa Sungai Petani.

Kejayaan menjuarai kejohanan berprestij itu menyaksikan USM Falcons membawa pulang trofi kejuaraan, pingat serta hadiah wang tunai berjumlah RM1,000.

Pada aksi final, USM Falcons yang ketinggalan pada awal set bangkit mempamerkan semangat juang tinggi untuk menumpaskan FMT VT dengan mata 31–27, sekali gus mengesahkan kejuaraan mutlak.

Terdahulu, dibarisi gabungan pemain varsiti lelaki dan wanita, USM Falcons memulakan kempen dengan langkah kanan selepas menyapu bersih ketiga-tiga perlawanan peringkat kumpulan pada hari pertama.

Walaupun berdepan tentangan sengit pada pusingan kedua, keserasian mantap membolehkan skuad universiti itu menundukkan Hakuna VC, UiTM Kedah dan X-One VT sebelum meneruskan momentum kemenangan dengan menewaskan Phantom VC 31–23 di separuh akhir.

Sementara itu, kapten pasukan, Mohd Ashrul Aizad Azmi yang merupakan pelajar Tahun 3 Pusat Pengajian Komunikasi menyifatkan kejayaan tersebut sebagai manifestasi moto universiti, ‘Kami Memimpin’, yang diterjemahkan atlet USM di arena sukan selain kecemerlangan akademik.

"Kejayaan ini adalah hasil disiplin dan komitmen tinggi setiap pemain sepanjang sesi latihan serta pertandingan, selain sokongan padu barisan kejurulatihan dan Pusat Sukan dan Rekreasi (PSR) USM," ujarnya.

Kejayaan USM Falcons turut dipacu oleh peranan pemain baharu yang juga pelajar Tahun 1 Pusat Pengajian Pengurusan, Tuan Aba Khair Tuan Soh yang cemerlang mengetuai jentera serangan untuk mengutip mata berharga, sekali gus meluahkan rasa teruja atas kejuaraan sulungnya sejak menyertai USM pada September lalu.

USM Falcons turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow serta Pejabat Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin atas sumbangan penajaan yang menjadi pemangkin kepada kejayaan gemilang pasukan itu.