TPL_YOOTHEME_SKIP_TO_MAIN_CONTENT
Komponen Generik MyCSD | Sukan

Taekwando, Bola Baling Wanita dan Karate Raih Gangsa, Buktikan Semangat Juang Pada Kejohanan SUKIPT 2026

Oleh : Siti Ruhaida Mohd Radhi, Unit Media dan Penerbitan BHEPA

KUALA LUMPUR, 5 September 2026 – Pasukan Taekwando, Bola Baling Wanita, Karate dan Universiti Sains Malaysia mencipta kejayaan membanggakan apabila merangkul pingat gangsa pada Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026 selepas menampilkan aksi penuh semangat juang sepanjang kejohanan.

Memulakan kempen di peringkat kumpulan, skuad USM membuka langkah dengan kemenangan apabila mempamerkan ketangkasan dan semangat tidak mudah mengalah dalam perlawanan sengit untuk menempah tiket ke separuh akhir.
Skuad Taekwondo membuka tirai kutipan pingat pertama kontinjen dengan penuh bergaya apabila dua atlet wanita, Anis Liyana Binti Razali dan Umi Rohadatul Aiss binti Noel @ Erot, masing-masing menyumbangkan pingat gangsa dalam kategori Kyorugi.

Kemenangan Anis Liyana dari Pusat Pengajian Seni menerusi kategori Kyorugi Female Bantam Weight (Bawah 53 kg) selepas mempamerkan aksi bertenaga sepanjang saingan sehingga ke peringkat separuh akhir.

Umi Rohadatul Aiss dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan turut tampil cemerlang apabila menghadiahkan pingat gangsa kedua menerusi kategori Kyorugi Female Fin Weight (Bawah 46 kg), selepas mengharungi saingan tiga pusingan menentang wakil Mahsa University, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Pasukan Bola Baling Wanita turut mempamerkan aksi menarik dan semangat tidak mudah mengalah apabila menundukkan Universiti Putra Malaysia (UPM), 21-19, dalam perlawanan sengit untuk menempah tiket ke separuh akhir.

Bagaimanapun, langkah USM ke pentas final tersekat selepas tewas 12-22 kepada Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam aksi separuh akhir, namun kekalahan tersebut tidak memadamkan tekad skuad wanita USM untuk bangkit memburu pingat.

Turun dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat, USM menampilkan kebangkitan penuh karakter apabila mengatasi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), 13-12, dalam perlawanan mendebarkan untuk mengesahkan pingat gangsa SUKIPT 2026.
Atlet Karate, Keevan Raj A/L Kalidhass, Tahun 2 dari Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, turut berjaya menghadiahkan pingat gangsa buat USM dalam saingan Karate.

Keevan Raj berdepan wakil Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam aksi penentuan yang menyaksikan beliau mencatat kemenangan 8-7, sekali gus mengesahkan pingat gangsa buat kontinjen USM.

Syabas dan tahniah diucapkan kepada seluruh pasukan atas kejayaan meraih pingat untuk USM. Semangat kental  yang ditunjukkan membuktikan bahawa kekalahan bukan alasan untuk mengalah, sebaliknya setiap cabaran menjadi pencetus untuk bangkit lebih kuat demi mengharumkan nama USM di pentas kejohanan SUKIPT 2026.