TPL_YOOTHEME_SKIP_TO_MAIN_CONTENT
Komponen Generik MyCSD | Sukan

Misi Buru Emas : Kontinjen USM Sedia Gegar SUKIPT 2026

Oleh : Siti Ruhaida Mohamed Radhi, Unit Media dan Penerbitan BHEPA

KUALA LUMPUR, 30 Ogos 2026 – Kembali menghangatkan arena sukan institusi pendidikan tinggi (IPT) negara, Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026 yang diadakan secara dwi-tahunan menjadi medan pertemuan bakat muda terbaik IPT seluruh negara untuk menyemarakkan semangat kesukanan, persaingan sihat, setiakawan dan kecemerlangan mahasiswa.

Berlangsung di Stadium Arena Universiti Malaya (UM), Majlis Perasmian SUKIPT 2026 menyaksikan himpunan besar warga sukan IPT dengan penyertaan 7,697 atlet daripada 64 kontinjen yang bakal berentap merebut 229 pingat emas, selain disokong kira-kira 2,000 pegawai teknikal dan 750 sukarelawan sepanjang temasya yang berlangsung dalam dua fasa, iaitu Fasa 1 dari 28 Ogos hingga 1 September 2026 dan Fasa 2 dari 2 hingga 6 September 2026.
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, dalam ucapan perasmiannya berkata sukan merupakan satu wahana yang sangat istimewa dalam membentuk generasi muda yang seimbang, kerana negara memerlukan anak-anak muda yang bukan sahaja hebat dalam bidang keilmuan di menara gading, malah turut mampu menyumbang kepada pembangunan sukan negara.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia, Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman, yang bersama-sama menyemarakkan lagi majlis perasmian temasya sukan dwi-tahunan tersebut.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni, Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya, yang hadir memberikan sokongan dan menyuntik semangat kepada kontinjen USM.
Dalam kemeriahan temasya tersebut, Universiti Sains Malaysia tampil dengan kekuatan 195 atlet yang menggalas cabaran universiti dalam 17 acara sukan, iaitu badminton, bola baling, bola jaring, bola tampar, petanque, ragbi, karate, catur, hoki, ping pong, bola keranjang, silat, softball, taekwondo, olahraga dan memanah.

Seluruh warga USM menitipkan doa, sokongan dan semangat juang buat kontinjen USM agar terus melakar aksi terbaik dengan penuh keyakinan, menjunjung tinggi semangat kesukanan dan membawa pulang kejayaan yang membanggakan nama Universiti Sains Malaysia di pentas SUKIPT 2026.