TPL_YOOTHEME_SKIP_TO_MAIN_CONTENT
Komponen Generik MyCSD | Sukan

Inisiatif Sarapan Percuma : Bukti Keprihatinan Pengurusan USM

Oleh : Siti Ruhaida Mohamed Radhi, Unit Media dan Penerbitan BHEPA
KUALA LUMPUR, 30 Ogos 2026 – Tirai Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026 dibuka dengan aksi penuh debar apabila kontinjen Universiti Sains Malaysia (USM) turun ke gelanggang dan arena pertandingan dengan tekad memburu kemenangan, mempertaruhkan semangat juang serta menggalas misi mengharumkan nama universiti.

Pasukan bola tampar wanita USM mencuri tumpuan pada hari pertama apabila bangkit daripada saingan sengit untuk menundukkan Universiti Teknologi MARA (UiTM) 2-1, sekali gus membuka kempen dengan kemenangan yang menyuntik keyakinan dan membakar semangat pasukan untuk terus melangkah.
Skuad ragbi lelaki USM pula menutup saingan peringkat kumpulan dengan satu kemenangan dan dua kekalahan selepas menewaskan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) 10-7 sebelum tewas 0-32 kepada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan 7-17 kepada Akademi Laut Malaysia (ALAM).

Dalam acara taekwondo kategori Poomsae Gandingan Beregu Campuran, gandingan Yew Shin Jie dan Wong You Yuan turut memberikan aksi terbaik apabila berjaya melangkah ke pentas akhir, namun terpaksa akur menduduki tangga keenam daripada 19 gandingan selepas saingan sengit yang menguji ketepatan, disiplin dan ketenangan mereka.

Walaupun podium belum menjadi milik mereka, perjuangan hingga ke pentas akhir tetap meninggalkan kesan apabila kedua-duanya mempersembahkan aksi terbaik dengan penuh keyakinan, membuktikan bahawa setiap usaha yang dicurahkan sepanjang persiapan tidak pernah sia-sia meskipun keputusan akhir belum menyebelahi mereka.

Bahang persaingan turut dirasai dalam acara petanque, bola keranjang dan badminton apabila atlet USM terus turun mempertahankan cabaran masing-masing, membawa bersama harapan kontinjen untuk mencipta lebih banyak detik membanggakan sepanjang temasya.

Hari pertama mungkin menghadirkan kemenangan dan kekecewaan, namun setiap detik di gelanggang menjadi sebahagian daripada perjalanan USM di SUKIPT 2026, dengan semangat untuk terus melangkah, bangkit daripada cabaran dan memberikan yang terbaik kekal menjadi taruhan utama setiap atlet yang membawa nama Universiti Sains Malaysia.