TPL_YOOTHEME_SKIP_TO_MAIN_CONTENT
Komponen Generik MyCSD | Sukan

Karnival IMT-GT Ke-25: Skuad USM Serlah Semangat Juang Tinggi di Padang

Oleh : NirMaryadi Rashid, Unit Media dan Penerbitan BHEPA

UNP PADANG, INDONESIA: 25 Ogos 2026 :- Suasana hari kedua Karnival IMT-GT ke-25 meriah dan sengit apabila saingan rasmi acara sukan mula memperlihatkan aksi bertenaga daripada kontinjen-kontinjen yang bertanding.

Tumpuan utama pada hari kedua tertumpu kepada aksi garang acara sukan yang dipamerkan iaitu bola tampar, tenis, badminton dan catur oleh barisan atlet USM sekali gus membakar semangat penyokong di gelanggang.

Dalam saingan badminton, gandingan beregu Ummu Iffah Asyhimie Hedzree dan Ong Ting Yong mara dengan kemenangan selesa menentang Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dengan mata 2-0. Ummu Iffah turut memperagakan aksi cemerlang dalam acara perseorangan wanita apabila berjaya menumpaskan wakil dari UniMAP dan Prince of Songkla University (PSU).

Sementara itu, skuad perseorangan lelaki USM tewas tipis 1-2 di tangan Universiti Sumatera Utara (USU) sebelum bangkit melakar kemenangan 2-0 menentang pemain Universiti Utara Malaysia (UUM).
Acara catur diwakili oleh Divyadarrshini A/P Loganathan (Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik) dan Hairuldin Said Mohd Najib ( Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik) menunjukkan aksi mantap apabila memenangi empat pusingan pada peringkat awal pertandingan.

Gelanggang bola tampar menyaksikan USM menang menentang USU 2 : 0 sekaligus melayakkan mereka ke semifinal bagi Kumpulan A.

Dalam acara tenis, gandingan beregu campuran Muhammad Muhaimin Afif Muhsin dan Wan Haifadurar Wan Hasnazir mempamerkan semangat juang tinggi apabila menumpaskan pasukan Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan keputusan 8-6.

Walau bagaimanapun, mereka terpaksa akur selepas tewas 1-8 kepada pasukan Universiti Sumatera Utara (USU). Sementara itu, wakil perseorangan lelaki, Anas Lukman Anuar, berdepan cabaran sengit sebelum tewas di tangan pemain UUM dan USU.

Hadir memberikan sokongan kepada atlet ialah Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Prof. Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaha dan Prof. Dr. Hairul Anuar Hashim, Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi USM.

Malam pembukaan Karnival Varsiti IMT-GT Ke-25 pada malam ini yang akan berlangsung di Auditorium UNP menyaksikan persembahan kebudayaan pelajar daripada 11 buah universiti di wilayah segitiga Indonesia - Malaysia – Thailand yang terdiri dari USM, UUM, UniMAP, UiTM Arau (Malaysia), Prince Songkla University, Rajamangala University of Technology Srivijaya, Thaksin University (Thailand), Universitas Syiah Kuala, Universitas Negeri Medan, Universitas Sumatera Utara dan Universitas Negeri Padang (Indonesia).

Karnival kali ini bukan sahaja menjadi medan menguji kehebatan fizikal dan mental para atlet, malah terus memperkukuhkan hubungan persahabatan merentas sempadan Malaysia, Indonesia, dan Thailand.