Komponen Generik MyCSD | Kebudayaan
Karnival Varsiti IMT-GT Ke-25: 541 Pelajar Serlah Bakat, Perkukuh Kerjasama Serantau di UNP
Oleh : NirMaryadi Rashid, Unit Media dan Penerbitan BHEPA
UNP Padang, Indonesia, 26 Ogos 2026 :- Malam pembukaan Karnival Varsiti Indonesia-Malaysia-Thailand Growth Triangle (IMT-GT) Ke-25 berlangsung meriah dengan persembahan kebudayaan yang berlangsung di Auditorium Universitas Negeri Padang (UNP) semalam.
Program berprestij ini menghimpunkan 11 daripada 12 universiti serantau penuntut dari wilayah segitiga pertumbuhan bagi menyerlahkan bakat seni budaya serta menimba pengalaman berharga, sekali gus memperkukuh ikatan perpaduan merentas sempadan antarabangsa.
Menurut penganjur, peningkatan kerjasama dalam penganjuran Karnival IMT-GT merupakan saluran yang amat berkesan untuk membina perkongsian yang lebih kukuh dan mampan. Melalui teras kerjasama, perpaduan, dan penerimaan perbezaan budaya, inisiatif ini berupaya menghasilkan strategi pembangunan serantau yang lebih ampuh.
Rektor Universitas Negeri Padang, Ir. Krismadinata, Ph.D., dalam kenyataannya, berkata bahawa program ini melambangkan ikatan persahabatan, persefahaman, and kerjasama mampan antara Indonesia, Malaysia, dan Thailand. Fokus utama penganjuran kali ini adalah melahirkan generasi belia yang berjiwa warga global.
Karnival edisi ke-25 ini menyaksikan penyertaan aktif seramai 541 pelajar merangkumi daripada sebelas institusi pengajian tinggi terkemuka dari tiga negara serantau, iaitu Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau (Malaysia), Prince of Songkla University, Rajamangala University of Technology Srivijaya, Thaksin University (Thailand), Universitas Syiah Kuala, Universitas Negeri Medan, Universitas Sumatera Utara, dan tuan rumah Universitas Negeri Padang (Indonesia).
Majlis perasmian yang gilang-gemilang itu turut menyerikan kehadiran Prof. Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni) USM, serta Profesor Dr. Hairul Anuar Hashim, Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi USM. Hadir sama ialah Ahli Majlis IMT-GT 2026 serta barisan urusetia dan sekretariat rasmi kejohanan.