Skip to main content
Sukan

Pelajar USM Lakar Sejarah, Hadiahkan Emas Pertama Negara Dalam Judo Pada Temasya Sukan Komanwel Glasgow 2026

Oleh : Unit Media dan Penerbitan BHEPA

Amir Daniel ketika beraksi menentang atlet Afrika Selatan, Timothy Meuwsen.  Foto : BERNAMA
PULAU PINANG 5 Ogos 2026 : Tahniah dan syabas diucapkan kepada pelajar Universiti Sains Malaysia, Amir Daniel Abdul Majeed, atas kejayaan luar biasa meraih pingat emas dalam acara judo kategori 81 kilogram (kg) lelaki pada temasya Sukan Komanwel Glasgow yang berlangsung pada 2 Ogos 2026, sekali gus mencipta sejarah tersendiri buat negara dan universiti di pentas sukan antarabangsa.

Kejayaan membanggakan itu menyaksikan Amir Daniel, pelajar Tahun 3 Pusat Pengajian Sains Kajihayat dalam bidang Biologi Persekitaran, mencetuskan sensasi apabila menghadiahkan pingat emas pertama negara dalam acara tersebut selepas menewaskan atlet Afrika Selatan, Timothy Meuwsen, menerusi mata waza-ari dengan teknik kata-guruma, sekali gus melakar kejutan besar dengan menumbangkan atlet yang berada di ranking ke-41 dunia meskipun beliau hanya menghuni kedudukan ke-117 dunia.

Pencapaian gemilang tersebut terus mengukuhkan reputasi Amir Daniel, yang juga merupakan atlet Program Warga Sukan USM dan anak bongsu daripada dua orang adik-beradik, sebagai antara prospek terbaik judo negara apabila berjaya meneruskan rentak kecemerlangan yang bermula dengan kejayaan meraih pingat gangsa kategori bawah 73 kg lelaki pada penampilan sulungnya di Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya serta seluruh warga kampus merakamkan ucapan tahniah dan syabas atas pencapaian membanggakan tersebut serta menyifatkan kejayaan Amir Daniel sebagai manifestasi kecemerlangan holistik mahasiswa USM yang bukan sahaja menyerlah dalam bidang akademik, malah mampu bersaing dan mencipta kejayaan di pentas antarabangsa.