TPL_YOOTHEME_SKIP_TO_MAIN_CONTENT
Komponen Generik MyCSD | Kepimpinan

Proses Pendaftaran Pelajar Baharu USM Dapat Maklumbalas Positif Dalam Kalangan Ibu Bapa

Oleh : NirMaryadi Rashid, Unit Media dan Penerbitan BHEPA
PULAU PINANG, 13 September 2026 :- Sesi pendaftaran hari kedua pelajar baharu Sidang Akademik 2026/2027 Universiti Sains Malaysia berjalan lancar di Desasiswa Aman Damai dan Desasiswa Tekun hari ini.

Pendaftaran yang bermula pada jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang itu melibatkan seramai 410 pelajar lelaki dan perempuan (Aman Damai) manakala Desasiswa Tekun mencatatkan seramai 508 pelajar lelaki dan perempuan.

Dibantu oleh barisan Pembimbing Program Siswa Lestari (PPSL) serta warga USM yang sentiasa komited dalam memastikan kelancaran perjalanan pendaftaran, proses pendaftaran pelajar turut mendapat maklumbalas positif dari kalangan ibu bapa.

Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni turut turun padang bagi meninjau suasana hari pendaftaran di kedua-dua desasiswa ini.
“Saya lihat semua pihak terutamanya warga kerja desasiswa dan Pembimbing Pelajar Siswa Lestari begitu bersemangat menolong ibu bapa dan pelajar baharu mengangkat barang dari kereta.

“Kita juga mendapat maklumbalas positif dalam kalangan ibu bapa pelajar melalui laman sosial, menunjukkan bahawa perancangan universiti serta latihan melalui kem dan taklimat kepada pelajar membuahkan hasil.

“Dengan bantuan pelajar PPSL, suasana cukup meriah dan segalanya berlaku dengan begitu cepat bagi memastikan ibu bapa dan pelajar tidak berasa terlalu terbeban untuk tunggu lama, tahniah kepada semua yang membantu pihak universiti pada hari ini,” ujarnya lagi.