TPL_YOOTHEME_SKIP_TO_MAIN_CONTENT
Komponen Generik MyCSD | Kepimpinan

USM Sambut Kedatangan 1196 Pelajar Baharu Sidang Akademik 2026/2027

Oleh : NirMaryadi Rashid, Unit Media dan Penerbitan BHEPA
PULAU PINANG, 12 September 2026 :- Babak baharu bermula! Sesi pendaftaran hari pertama pelajar baharu Sidang Akademik 2026/2027 Universiti Sains Malaysia berjalan lancar dengan penuh meriah di Desasiswa Saujana, Indah Kembara dan Bakti hari ini.

Pendaftaran yang bermula pada jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang itu melibatkan seramai 610 pelajar (Saujana), 244 (Indah Kembara) dan 341 (Bakti Fajar Permai) dengan dibantu oleh barisan Pembimbing Program Siswa Lestari (PPSL) serta warga USM yang sentiasa komited dalam memastikan kelancaran perjalanan pendaftaran.

Sementara itu, penerima biasiswa sulung yang berjaya melanjutkan pengajian di USM, Muhammad Adam Iskandar Azharunaim yang akan melanjutkan pengajian dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Sejarah) dengan Kepujian di Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan disambut dengan penuh mesra oleh pengurusan tertinggi USM.
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed bersama Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni, Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya, Timbalan Naib Canselor, Akademik dan Antarabangsa, Profesor Datin Dr. Noor Hazlina Ahmad serta pegawai BHEPA turut hadir menyantuni Adam dan keluarganya serta melihat proses pendaftaran yang berlangsung di Desasiswa Indah Kembara.

“Yuran pengajian telah ditanggung oleh pihak universiti dan kita akan usahakan bantuan lain yang boleh diberikan kepada Adam,” ujar Rahman lagi.

Adam yang mendaftar masuk di Desasiswa Indah Kembara petang tadi ditemani oleh keluarga bapa saudaranya turut berasa terharu dengan layanan yang diberikan oleh pihak universiti kepadanya.

“Saya berazam akan belajar dengan bersungguh-sungguh demi masa depan saya dan adik-adik.

“Terima kasih juga kepada bapa saudara yang menghantar saya ke sini serta menjaga adik-adik saya, jasa mereka tidak akan saya lupakan” ujarnya lagi dengan rasa terharu.

Langkah hari ini di gerbang universiti adalah permulaan kepada masa depan yang diimpikan. Tahniah dan selamat datang diucapkan.