TPL_YOOTHEME_SKIP_TO_MAIN_CONTENT
Kepimpinan

Sentuhan Prihatin MPP Redakan Kegusaran Pelajar Baharu dari Sabah dan Sarawak

Oleh : NirMaryadi Rashid, Unit Media dan Penerbitan BHEPA
PULAU PINANG, 11 September 2026 :- Suasana pendaftaran penuntut baharu Universiti Sains Malaysia diwarnai dengan kisah perantauan apabila gelombang ketibaan awal pelajar dari Sabah dan Sarawak mencuri tumpuan.

Kehadiran mereka disambut mesra oleh pihak Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni bersama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USM yang turun padang lebih awal di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

Inisiatif ini digerakkan oleh MPP USM membuktikan komitmen berterusan pihak universiti dalam memastikan kebajikan serta emosi pelajar baharu terjaga, terutamanya bagi mereka yang merantau jauh.

Caryn Ling Yu Fang yang akan mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dengan Kepujian ditemani ibunya, Elizabeth Ho Hui Duan dari Kuching, Sarawak. Ketibaan mereka seawal jam 9:00 pagi menjadi detik permulaan yang manis untuk menjejakkan kaki di kampus APEX ini.

"Saya berasa sangat gembira dan bersyukur kerana USM pilihan pertama saya. Saya berharap dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan universiti dan memberikan prestasi yang terbaik dalam pelajaran," ujar Caryn penuh teruja.
Sementara itu, senyuman gembira turut dikongsi oleh Heppysiah Raimee, anak jati Sabah yang akan mengikuti program ijazahnya di Pusat Pengajian Sains Fizik.

“Saya mendarat di bumi Pulau Mutiara pada jam 3:00 petang dan akan ditempatkan di Desasiswa Saujana.  

"Sebagai pelajar dari Sabah yang datang seorang diri dan menempuh perjalanan yang jauh, saya pada mulanya berasa cemas dan bimbang, namun sambutan yang diberikan oleh pihak MPP USM setibanya saya di sini telah menghilangkan segala rasa takut dan sedih saya.

"Saya amat gembira, terharu dan berterima kasih atas keprihatinan ini. Ia memberi saya semangat dan keyakinan untuk memulakan kehidupan baharu di USM, terima kasih MPP USM," ujarnya dengan rasa terharu.

Sentuhan prihatin melalui sambutan awal di lapangan terbang ini bukan sahaja berjaya meredakan kegusaran ibu bapa dan pelajar, malah menjadi pemangkin semangat buat penuntut baharu khasnya pelajar dari Borneo lain untuk melangkah yakin ke gerbang menara gading USM.