TPL_YOOTHEME_SKIP_TO_MAIN_CONTENT
Kepimpinan

Simulasi Pendaftaran 1 Minit di Desasiswa Bukti Kesiapsiagaan USM Sambut Pelajar Baharu Sidang Akademik 2026/2027

Oleh : NirMaryadi Rashid, Unit Media dan Penerbitan BHEPA

PULAU PINANG, 11 September 2026 :- Pendaftaran pelajar baharu Sidang Akademik 2026/2027 di Universiti Sains Malaysia meriah apabila pihak universiti mengadakan sesi simulasi pendaftaran pantas bertempat di Desasiswa Hilton, hari ini.

Simulasi ini merekodkan proses pendaftaran hanya mengambil masa selama satu minit setibanya pelajar baharu di desasiswa nanti.

Mereka hanya perlu melalui empat proses utama iaitu mengimbas kod QR surat tawaran, serah surat tawaran serta kad pengenalan untuk semakan, ambil surat tawaran dan kunci bilik desasiswa masing-masing.
Simulasi ini disaksikan oleh Naib Canselor USM, Prof. Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed. Turut hadir bersama ialah Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Prof. Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya; Dr. Abdul Rais Abdul Latiff, Pengerusi Majlis Penggawa Desasiswa, Ketua Pentadbir BHEPA, Puan Siti Aishah Abdul Raffar, barisan penggawa dan penolong penggawa, Majlis Perwakilan Pelajar dan Sekretariat Pembimbing Program Siswa Lestari.

Simulasi singkat ini membuktikan kesiapsiagaan pihak pentadbiran desasiswa dalam memastikan proses kemasukan beribu-ribu pelajar baharu pada sesi akademik kali ini berjalan lancar, teratur, dan mesra pelajar tanpa kesesakan yang panjang.

“Pihak universiti ingin memudahkan dan mempercepatkan proses kemasukan pelajar baharu dan kita tidak mahu ibu bapa menunggu terlalu lama semasa proses pendaftaran.

“Saya mengharapkan agar semua pihak dapat menjalankan tugas dengan baik selama tiga hari pendaftaran ini yang berlangsung di tujuh desasiswa USM Kampus Induk,” ujar Rahman lagi.

Beliau turut dibawa ke bilik penginapan pelajar bagi memastikan semuanya berada dalam keadaan baik, teratur dan kemas.

Universiti Sains Malaysia akan menerima kemasukan pelajar baharu di kampus induk Pulau Pinang seramai 3490 merangkumi pelajar tempatan dan antarabangsa.