TPL_YOOTHEME_SKIP_TO_MAIN_CONTENT
Komponen Generik MyCSD | Kepimpinan

PPSL USM 2026 : Platform Pembentukan Pemimpin Mahasiswa

Oleh : NirMaryadi Rashid, Unit Media dan Penerbitan BHEPA

Sik, Kedah – 7 September 2026 : Kem Pembimbing Pelajar Siswa Lestari (PPSL) USM Sidang Akademik 2026/2027 melibatkan penyertaan seramai 243 pelajar bagi ketiga-tiga kampus utama universiti berlangsung selama tiga hari bermual 5 Semptember 2026 di KEDA Resort, Sik Kedah.

Program anjuran BHEPA yang diadakan ini bertujuan untuk melatih barisan hadapan PPSL dari aspek kepimpinan, ketahanan diri dan penguasaan maklumat institusi.
Dibantu oleh seramai 20 orang fasilitator yang terdiri daripada warga kerja BHEPA, kehadiran mereka turut berperanan dalam menyampaikan ilmu melalui pemantapan nilai APEX, budaya HEBAT serta peranan peserta PPSL yang merupakan duta kecil antara pelajar baharu dan pihak universiti.

Diketuai oleh Dr. Abdul Rais Abdul Latiff, Pengerusi Majlis Pengawa Desasiswa bersama barisan Pengawa Desasiswa, 7 modul yang dirangka khusus bagi menggabungkan elemen pengetahuan, kreativiti, kepimpinan, kelestarian dan ketahanan fizikal.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya, ketika merasmikan Kem PPSL USM berkata, PPSL bukan sekadar menjadi pembimbing kepada pelajar baharu, sebaliknya merupakan medan mencungkil potensi kepimpinan mahasiswa yang bakal menggerakkan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Majlis Perwakilan Desasiswa (MPD), persatuan dan pelbagai organisasi mahasiswa.

"Peserta perlu merebut setiap peluang yang tersedia di USM untuk membina jaringan, memperluas pengalaman serta menjadi penyampai maklumat yang berkesan mengenai pencapaian universiti dalam agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), selain menyampaikan mesej bahawa kebajikan dan kesejahteraan pelajar sentiasa menjadi keutamaan USM, "ujarnya lagi.
Turut hadir, Ketua Pentadbir Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) USM, Puan Aishah Abdul Raffar, serta Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar BHEPA USM, Profesor Dr. Azizah Omar, yang menyeru peserta agar melaksanakan amanah PPSL dengan penuh komitmen, mengutamakan komunikasi berkesan dan menerapkan nilai empati dalam setiap interaksi bersama pelajar baharu.
“Sentiasa senyum dan jadikan PPSL ini sebagai ruang untuk membentuk jati diri mahasiswa yang lebih HEBAT,” katanya.

Siti Rahmah Mokhtar, selaku salah seorang peserta menyifatkan kem ini sebagai medan memperkukuh jati diri, menguji ketahanan mental dan fizikal serta menyemarakkan keberanian serta membuka peluang membina jaringan dengan kenalan baharu selepas tiga kali menyertai program tersebut.
Diketuai Adam Zafry Zaharin selaku Penghulu, Kem PPSL USM 2026 selama tiga hari menjadi medan menyemarakkan semangat kepimpinan, memperkukuh jati diri dan mencetus keberanian mahasiswa untuk tampil sebagai pembimbing yang berwibawa serta pemimpin masa hadapan.