TPL_YOOTHEME_SKIP_TO_MAIN_CONTENT
Komponen Generik MyCSD | Kepimpinan

'Buddies' USM Sedia Galas Tanggungjawab Santuni Pelajar Antarabangsa

Oleh : NirMaryadi Rashid, Unit Media dan Penerbitan BHEPA

BALIK PULAU, 4 September 2026  :- Seramai 40 pelajar Universiti Sains Malaysia telah menyertai Program Bina Pasukan (Team Building) bagi persediaan kemasukan pelajar baharu Sidang Akademik 2026/2027 yang berlangsung di Kem White Resort dari 2 hingga 4 September 2026.

Melibatkan penyertaan seramai 15 senior buddies dan 25 junior buddies, program anjuran Pejabat Antarabangsa, Bahagian Akademik dan Antarabangsa ini diadakan bertujuan untuk merapatkan perkenalan baharu dan lama, meningkatkan kerjasama, perpaduan, komunikasi, serta kepimpinan dalam kalangan mereka.

Sebagai duta kecil universiti kepada pelajar antarabangsa yang akan mendaftar bagi sidang akademik kali ini, program ini juga melatih para peserta dengan informasi berkaitan universiti, ketahanan mental dan fizikal serta pembahagian jabatan yang akan dilakukan nanti sebagai persediaan kepada gerak kerja setibanya pelajar antarabangsa di USM nanti.
Berucap semasa majlis penutup program, Timbalan Pengarah Pejabat Antarabangsa USM, Sr. Dr. Muneera Esa, menyatakan rasa bangga melihat ke akraban yang terjalin.

“Program ini memberi peluang terbaik untuk para buddies pelajar berkenalan sesama ahli, manakala senior buddies pula dapat membimbing dan berkongsi pengalaman dengan junior buddies.

Pandangan ini turut disokong oleh wakil Unit Pelajar Antarabangsa, Encik Mugilan A/L Ravi, yang menekankan kepentingan komunikasi dan kerjasama berpasukan dalam membina jaringan sokongan yang kukuh antara pelajar tempatan dan antarabangsa.

Salah seorang peserta bina pasukan antarabangsa dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa, Naworah Obaid turut menyifatkan program ini sebagai satu pengalaman yang amat menarik kerana ia merupakan penyertaan pertamanya dalam aktiviti seumpama ini di universiti.

Program yang berlangsung selama tiga hari dua malam ini diakhiri dengan pelbagai aktiviti interaktif dan modul kepimpinan dalam memupuk nilai insaniah, kesepaduan global, serta keyakinan diri pelajar.