TPL_YOOTHEME_SKIP_TO_MAIN_CONTENT
Komponen Generik MyCSD | Kepimpinan

64 Sekretariat ConVEx 2026 Mantapkan Semangat Kerja Berpasukan

Oleh : Hafiz Meah Ghouse Meah, Sektor Latihan, Kepimpinan dan Kesukarelawanan, Pusat Pembangunan Pelajar BHEPA
Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA
PERAK, 22 Ogos 2026 – Program Team Building Sekretariat Ekspo Konvokesyen (ConVEx) 2026 berlangsung selama dua hari bermula 22 hingga 23 Ogos 2026 bertempat di Bukit Merah Laketown Resort, Perak, sebagai platform untuk memperkukuh hubungan, meningkatkan semangat kerja berpasukan serta membina keserasian dalam kalangan peserta bagi menghadapai Upacara Konvokesyen ke-64 tahun 2026.

Program yang menggabungkan elemen team building, rekreasi, perkongsian dan bonding ini dirangka bagi mewujudkan suasana interaksi yang lebih santai dan kondusif, sekali gus memberi ruang kepada peserta untuk mengenali antara satu sama lain dengan lebih dekat.

Seramai 64 sekretariat pelajar daripada 12 jabatan utama ConvEx merangkumi Ahli Majlis Tertinggi dan jawatankuasa kecil hadir ke program selama dua hari ini.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni, Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya bersama Profesor Dr. Azizah Omar, Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar, Timbalan Pendaftar BHEPA, Puan Siti Aishah Abdul Raafar turut hadir menyantuni serta menyampaikan amanat pada hari pertama kepada seluruh sekretariat.

“Jaga intergriti semasa berkhidmat nanti dan perkasa agenda H.E.B.A.T. yang merujuk kepada kerangka strategik pembangunan sahsiah dan kemenjadian pelajar yang diperkenalkan di Universiti Sains Malaysia,” ujar Profesor Wan kepada pelajar ConvEx.

Pelaksanaan program ini bukan sahaja memberi peluang kepada peserta untuk keluar daripada rutin harian, malah menjadi medium penting dalam membina budaya kerja berpasukan yang positif, saling menyokong dan mempunyai tahap kepercayaan yang tinggi antara satu sama lain dalam menghadapi upacara tertinggi universiti.

Melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman dan aktiviti berkumpulan, program ini dapat meningkatkan kemahiran interpersonal, komunikasi dan kepimpinan peserta serta membentuk pasukan CONVEX yang lebih bersatu, dinamik dan bersedia menghadapi cabaran bersama.

Tema "ConVEx: Sync, Connect & Grow Together" merupakan motto bagi pasukan pada tahun ini. Upacara Konvokesyen ke-64 USM akan berlangsung dalam 14 sidang bermula pada 24 November 2026 sehingga 1 Disember 2026.