TPL_YOOTHEME_SKIP_TO_MAIN_CONTENT
Komponen Generik MyCSD | Kepimpinan

Sekretariat ConvEx 2026 Terima Watikah Pelantikan, Sedia Jayakan Ekspo Konvokesyen USM

Oleh : NirMaryadi Rashid, Unit Media dan Penerbitan BHEPA

USM PULAU PINANG, 23 Mei 2026 :- Sekretariat Ekspo Konvokesyen (ConvEx) 2026, sebuah pertubuhan pelajar di Universiti Sains Malaysia, secara rasmi menerima watikah pelantikan dan melafazkan ikrar sekretariat dalam satu majlis ringkas di Kompleks Cahaya Siswa (KOMCA), kelmarin.

Program utama (Flagship) di bawah seliaan Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni (BHEPA) ini bakal diterajui oleh seramai 74 orang Ahli Jawatankuasa (AJK) utama yang merangkumi 12 jabatan. Program ini akan dilaksanakan melalui empat fasa bermula dari Mei hingga November 2026.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni) USM, Prof. Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya menegaskan bahawa ekspo yang dikendalikan sepenuhnya oleh pelajar ini merupakan peluang terbaik untuk meningkatkan kemahiran insaniah (soft skills) mereka.
“Pengurusan ekspo konvokesyen bukan sahaja menyatukan elemen HEBAT, malah turut melatih anda untuk menguasai kemahiran kepimpinan, pengurusan masa, dan pengurusan perniagaan,” ujar beliau.

Beliau turut menambah bahawa ConvEx amat signifikan dalam membentuk sahsiah serta kompetensi mahasiswa daripada pelbagai aspek.

Sementara itu, Pengarah Projek ConvEx 2026, Saudara Muhammad Airul Afzan Azlan mengumumkan bahawa tema yang dipilih pada tahun ini iaitu ‘Web-Reality’ akan menonjolkan peralihan pelajar daripada persekitaran simulasi (universiti) kepada realiti aktif (masa hadapan).

“Tema ini merangka graduasi bukan sebagai penamat, tetapi sebagai ‘kejayaan keluar dari sistem’ (system exit) yang memindahkan mahasiswa daripada ‘pemacu tempatan’ pendidikan ke dalam rangkaian yang lebih luas dalam kehidupan,” ujarnya lagi.

Hadir bersama semasa hari penyampaian watikah adalah Profesor Dr. Azizah Omar, Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar BHEPA, Encik Shukeri A Rahaman, Penasihat II ConvEx 2026, Encik Hafiz Meah Ghouse Meah, Penyelaras Operasi ConvEx 2026 dan barisan pegawai BHEPA.

Selain penyerahan watikah, majlis turut diisi dengan pembentangan garis masa yang jelas serta pelan perancangan daripada setiap jabatan yang terlibat oleh pengarah projek.

Sebagai penutup, majlis tersebut bukan sahaja menandakan permulaan rasmi gerak kerja Sekretariat ConvEx 2026, malah menjadi platform untuk menyemarakkan semangat kerjasama, komitmen dan profesionalisme dalam kalangan ahli jawatankuasa yang dilantik.

Dengan perancangan yang tersusun serta penglibatan aktif mahasiswa, ConvEx 2026 diharap mampu menjadi medan pembelajaran berimpak tinggi yang memperkasa pembangunan kepimpinan pelajar di samping menyokong kejayaan penganjuran istiadat konvokesyen USM tahun ini.