TPL_YOOTHEME_SKIP_TO_MAIN_CONTENT
Kebajikan

Ziarah Kasih USM Suntik Harapan, Perkasa Langkah Pelajar Baharu

Oleh : Siti Ruhaida Mohamed Radhi, Unit Media dan Penerbitan BHEPA

PULAU PINANG, 25 Ogos 2026 – Program Ziarah Kasih USM bersama Yayasan Perkasa Siswa hadir membawa sinar sokongan buat pelajar baharu Sidang Akademik 2026/2027, Muhammad Adam Iskandar Azharunaim, yang baru sahaja kehilangan ibu tercinta ketika sedang bersiap melangkah ke alam pengajian tinggi.

Adam, pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Sejarah) dengan Kepujian dari Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, menerima tawaran melanjutkan pengajian di USM dengan penuh harapan untuk membina masa depan, namun kegembiraan tersebut hadir bersama dugaan besar apabila ibunya menghembuskan nafas terakhir pada pagi kelmarin akibat kanser otak, selepas bapanya terlebih dahulu meninggal dunia akibat jangkitan COVID-19 pada tahun 2021.

Sebagai anak sulung daripada empat beradik, Adam kini berdepan tanggungjawab besar untuk memastikan kebajikan dua adiknya yang masih bersekolah terus terpelihara, termasuk adik bongsunya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) fizikal dan memerlukan penjagaan khusus, manakala adik keduanya turut bekerja di sebuah kedai makan di kampung bagi membantu meringankan beban keluarga.
Adam turut dikenal pasti sebagai antara pelajar yang berpotensi menerima Biasiswa Siswa Sulung USM, manakala kunjungan ke kediamannya di Kulim, Kedah menjadi manifestasi keprihatinan universiti dalam memastikan kebajikan pelajar terus diberi perhatian pada awal perjalanan pengajian mereka.

Hadir bersama dalam kunjungan tersebut ialah Pengurus Kolaborasi & Strategik Yayasan Perkasa Siswa, Encik Zulkifli Che Hussin, Ketua Pentadbir Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni USM, Puan Siti Aishah Abdul Raffar serta Ketua Unit Kebajikan BHEPA USM, Puan Siti Meszaida Mohd Ehsan.

Selain Adam, Program Ziarah Kasih USM turut menyantuni Norrisha Faiz Mohammad, pelajar Ijazah Sarjana Muda Farmasi (Kepujian) dari Pusat Pengajian Sains Farmasi yang turut dikenal pasti sebagai berpotensi menerima Biasiswa Siswa Sulung USM, dengan bapanya bekerja sendiri sebagai pemotong rumput manakala ibunya merupakan suri rumah tangga tanpa pendapatan tetap.

Kedua-dua pelajar berkenaan turut menerima Bantuan Awal Pendidikan Tinggi daripada Yayasan Perkasa Siswa sebagai sokongan awal bagi membantu meringankan keperluan mereka dalam memulakan pengajian di USM, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan universiti dan rakan strategiknya dalam memastikan latar belakang sosioekonomi bukan menjadi penghalang kepada akses pendidikan tinggi.