TPL_YOOTHEME_SKIP_TO_MAIN_CONTENT
Kebajikan

Pasukan Khas Kebajikan UA Tinjau Inisiatif BHEPA Terhadap Kebajikan Mahasiswa USM

Oleh : Unit Kebajikan BHEPA
Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA
PULAU PINANG, 26 Ogos 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) menerima kunjungan pasukan khas kebajikan universiti awam bagi meninjau pelaksanaan inisiatif kebajikan pelajar, khususnya menerusi Dapur Siswa MADANI, Menu Kasih Siswa dan FoodBank@HEPA USM.

Lawatan tersebut diketuai oleh Encik Ikhmal Shafiq dan Encik Muhammad Ayob, Pegawai Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Delegasi Pasukan Khas Kebajikan Universiti Awam disambut oleh Puan Siti Aishah Abdul Raffar, Ketua Pentadbir HEPA USM, Puan Siti Meszaida Mohd Ehsan, Ketua Unit Kebajikan, serta Encik Muhammad Faiz Aiman Farizon, Setiausaha Dapur Siswa MADANI (DSM).

Lawatan dimulakan dengan tinjauan secara langsung ke Dapur Siswa MADANI USM yang terletak di Desasiswa Bakti, H11, sebelum meneruskan kunjungan ke lokasi pelaksanaan Menu Kasih Siswa di Kafeteria Bakti serta FoodBank@HEPA USM di Bangunan H20.
Kunjungan tersebut menjadi wadah perkongsian pengalaman dan amalan terbaik, di samping memberi ruang kepada kedua-dua pihak meninjau pendekatan USM dalam memperkasa inisiatif kebajikan serta memastikan akses makanan dan sokongan yang responsif demi kesejahteraan mahasiswa yang memerlukan.

Sejajar komitmen berterusan USM memperkukuh ekosistem kebajikan mahasiswa secara responsif, inklusif dan lestari, kunjungan ini diharapkan dapat memperluas jaringan kerjasama serta memperkasa perkongsian ilmu dan amalan terbaik dalam mendukung agenda kebajikan mahasiswa di institusi pendidikan tinggi awam.