TPL_YOOTHEME_SKIP_TO_MAIN_CONTENT
Kebajikan

Siti Maisarah Terima Tajaan Yuran Pengajian, Bawa Harapan Keluarga ke USM

Oleh : Unit Kebajikan & OKU BHEPA
Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA
KUALA LUMPUR, 7 September 2026 – Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada bakal pelajar Universiti Sains Malaysia, Siti Maisarah Yahya Lotfi, yang terpilih sebagai penerima tajaan yuran pengajian Pelajar Terbaik STPM 2025 bagi melanjutkan pengajian dalam Program Sarjana Muda Pendidikan (Bahasa Melayu) dengan Kepujian.

Siti Maisarah merupakan antara 27 pelajar terbaik kebangsaan STPM 2025 daripada 18 universiti awam yang menerima tajaan tersebut, sekali gus membuka ruang berharga buatnya untuk meringankan beban keluarga, menyuntik keyakinan dan memperkukuh semangat menimba ilmu, pengalaman serta kemahiran lebih luas di USM demi merealisasikan cita-cita.

“Saya berasa sangat bersyukur dan teruja kerana bagi saya, biasiswa ini merupakan satu peluang yang sangat berharga bagi meringankan beban keluarga serta memberi saya semangat untuk mencapai cita-cita,” katanya.

Turut hadir mewakili USM ialah Timbalan Naib Canselor Bahagian Akademik dan Antarabangsa USM, Profesor Datin Dr. Noor Hazlina Ahmad dan Encik Muhammad Faiz Aiman Farizon, Penolong Pegawai Tadbir Unit Kebajikan BHEPA yang bersama-sama menyaksikan detik bermakna tersebut sebagai satu pengiktirafan terhadap kecemerlangan bakal pelajar USM.
Majlis Penyerahan Surat Tajaan Yuran Pengajian Ijazah Sarjana Muda kepada Pelajar Cemerlang STPM 2025 disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), menzahirkan komitmen kerajaan untuk terus membuka akses pendidikan tinggi kepada anak-anak Malaysia tanpa mengira latar belakang, selain menyifatkan penerima tajaan sebagai aset penting kepada keluarga dan negara.

"Saya menyeru para penerima agar menjadikan kehidupan di universiti sebagai ruang pembelajaran yang menyeronokkan, berani menyahut setiap cabaran secara positif serta terus memperkasa potensi diri bagi melangkah lebih jauh.

"Tajaan tersebut bukan sekadar bantuan kewangan, malah mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh akses kepada pendidikan tinggi berkualiti serta melahirkan graduan yang bukan sahaja bersedia menghadapi alam pekerjaan, malah future-ready untuk mencipta nilai dan menyumbang secara bermakna kepada keluarga, masyarakat dan negara," ujarnya lagi.