Skip to main content
Keusahawanan

PERNAS Sumbang Mesin Jahit, Bantu Perluas Perusahaan Sosial EMC

Oleh : Siti Ruhaida Mohamed Radhi, Unit Media dan Penerbitan BHEPA
USM PULAU PINANG, 24 Julai 2026 – Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) menerusi program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Pernas Prihatin telah menyumbangkan dua buah mesin jahit kepada EmpowerMom Creation (EMC), sebuah perusahaan sosial Universiti Sains Malaysia yang beroperasi di bawah Sektor Keusahawanan dan Inovasi, Pusat Pembangunan Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni di The Bricks, USM.

Program CSR Pernas Prihatin merupakan inisiatif PERNAS yang bertujuan membantu golongan kurang berkemampuan, mengurangkan kos sara hidup serta memperkukuh kesejahteraan komuniti melalui pelbagai bentuk sokongan yang mampan dan berimpak tinggi.
Ketua Pegawai Kewangan dan Operasi PERNAS, Puan Norazizah Zakaria berkata, EMC merupakan sebuah perusahaan sosial yang amat selari dengan matlamat dan aspirasi program CSR Pernas Prihatin dalam usaha memperkasa komuniti dan meningkatkan taraf sosioekonomi golongan sasar.

 “PERNAS berharap bantuan ini dapat membantu EMC memperluas impaknya kepada masyarakat serta memperkasakan lebih ramai individu melalui pembangunan kemahiran dan peluang keusahawanan, di samping mengukuhkan lagi hubungan kerjasama strategik antara PERNAS dan USM pada masa hadapan,” katanya.

Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar, Dr. Hazrul Abdul Hamid yang mewakili Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar BHEPA, Profesor Dr. Azizah Omar, serta Ketua Sektor Keusahawanan dan Inovasi BHEPA, Puan Hajar Zituakmar Mohd Fauzi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif EmpowerMom Creation, Encik Koh Kean Hoe berkata, EMC merupakan sebuah perusahaan sosial yang komited membantu golongan ibu tunggal daripada golongan berpendapatan rendah (B40) melalui pelbagai inisiatif pembangunan kapasiti, pemindahan ilmu serta sokongan dalam penghasilan dan pemasaran produk.

“EMC amat berterima kasih kepada PERNAS atas kesudian menyumbangkan mesin jahit industri berjenama Juki yang dilengkapi dengan kawalan elektronik kerana kemudahan ini amat sesuai digunakan dalam projek pemindahan ilmu dan latihan kemahiran kepada golongan sasaran yang kami bantu,” katanya.

Program ini mencerminkan komitmen kukuh PERNAS dan USM dalam memperkasa komuniti melalui pendekatan berteraskan keusahawanan sosial yang inklusif dan berimpak tinggi, sejajar dengan aspirasi SDG 5: Kesaksamaan Gender dan SDG 8: Pekerjaan Layak dan Pertumbuhan Ekonomi, sekali gus memperluas peluang pemerkasaan wanita, meningkatkan keupayaan menjana pendapatan serta membina komuniti yang lebih berdaya tahan dan sejahtera.