Skip to main content
Komponen Generik MyCSD : Kepimpinan

Agenda H.E.B.A.T. Diperkasa: 87 Mahasiswa Keusahawanan USM Asah Kemahiran Insaniah Melalui 3KPP’26

Oleh : NirMaryadi Rashid, Unit Media dan Penerbitan BHEPA
USM, PULAU PINANG, 16 Jun 2026 – Selaras dengan atribut keusahawanan dalam agenda H.E.B.A.T., penglibatan seramai 87 mahasiswa melalui Sekretariat Keusahawanan dan Kerjaya Pulau Pinang (3KPP) 2026 menjadi platform terbaik untuk mengasah dan memantapkan kemahiran insaniah pelajar aspek pengurusan keusahawanan di luar bilik kuliah.

Penganjuran program yang berlangsung pada 12 hingga 14 Jun 2026 ini diterjemahkan secara praktikal menerusi penglibatan aktif 62 pengusaha kecil dan sederhana (makanan dan minuman) serta 60 pempamer Ekspo Kerjaya dan Pendidikan (EKSPEN) dan 7 Koridor Niaga yang turut membuka ruang jaringan kerjaya strategik sepanjang program berlangsung.

Gerak kerja Sekretariat 3KPP’26 di bawah seliaan Sektor Keusahawanan dan Inovasi dan Sektor Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan, Pusat Pembangunan Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (BHEPA) ini telah memulakan langkah awalnya sejak 25 Februari 2026.

Bermula daripada sesi percambahan minda secara kolektif sehinggalah kepada proses pencarian bakat baharu bagi mengemudi sekretariat, rantaian strategi telah disusun rapi bagi memastikan setiap agenda yang dirangka dapat dilaksanakan dengan impak maksimum.

Bagi memastikan kelancaran program, sebanyak 11 jabatan utama telah dibentuk yang merangkumi Jabatan Hub Keusahawanan; Jabatan Penajaan dan Perhubungan; Jabatan Pemasaran dan Publisiti; Jabatan Protokol dan Jemputan; Jabatan Pengurusan Pentas dan Aktiviti; Jabatan Kreatif Media dan Digital; Jabatan Hadiah dan Cenderamata; Jabatan Teknikal, Fizikal dan Logistik; Jabatan Keselamatan, Kebajikan, Keceriaan dan Kebersihan; serta Jabatan Pendaftaran dan Makanan.

Pegawai Sektor Keusahawanan dan Kerjaya, Pusat Pembangunan Pelajar BHEPA, Puan Hajar ZituAkmar Mohd Fauzi berkata, cabaran mengendalikan program berskala besar di luar bilik kuliah adalah satu realiti yang mampu menguji keupayaan sebenar mahasiswa.

"Melalui kolaborasi berskala besar yang melibatkan 11 jabatan ini, kita menyediakan platform terbaik untuk mengasah bakat pelajar. Keupayaan menyusun keutamaan dan mengurus garis masa projek secara tidak langsung melatih mereka menjadi pemimpin yang kalis tekanan," ujar beliau ketika ditemui.

Nada yang sama turut dikongsi oleh ahli sekretariat, Muhammad Ramadhan Hadi Mohd Ghazali, pelajar Tahun 1 dari Pusat Pengajian Sains Kajihayat, yang menyifatkan penyertaan dalam program berimpak tinggi ini sebagai satu pendedahan yang sangat berharga.

“Menyertai program besar sebegini membuka ruang pengalaman baharu bagi saya sebagai ahli sekretariat. Banyak perkara yang saya pelajari dan diakui, bukan mudah untuk menguruskan sesuatu program (yang besar),” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar, Profesor Dr. Azizah Omar, bersama-sama seluruh warga kerja BHEPA menzahirkan ucapan syabas dan tahniah kepada Sekretariat 3KPP’26 atas daya usaha, komitmen, dan semangat tinggi yang ditunjukkan sepanjang menjayakan program tersebut.

Penglibatan aktif mahasiswa dalam program persatuan seumpama ini diyakini mampu membentuk keperibadian mereka dengan sifat kepimpinan, semangat kerjasama, akauntabiliti, serta daya tahan yang tinggi, sekali gus memupuk sikap positif dalam mendepani alam kerjaya masa hadapan.