Keusahawanan
225 Mahasiswa Dari 8 IPT Zon Utara Jayakan Program Jaguh Keusahawanan Nasional 2026
Oleh : NirMaryadi Rashid, Unit Media dan Penerbitan BHEPA
YBhg. Datuk Saidatu Akhma Hassan (duduk dari tengah) bergambar bersama pengurusan tertinggi USM, barisan fasilitator dan peserta semasa perasmian penutup berlangsung.
PULAU PINANG, 28 Julai 2026 :- Pelbagai inisiatif telah dirangka bagi memastikan usahawan bukan sahaja mempunyai akses kepada pembiayaan, malah turut dibangunkan melalui latihan, bimbingan, pendigitalan dan peluasan pasaran.
Demikian ujar Yang Berbahagia Datuk Saidatu Akhma Binti Hassan, Timbalan Ketua Setiausaha, Pembangunan Keusahawanan, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi ketika majlis perasmian penutup program Jaguh Keusahawanan Nasional 2026 di USM.
“Dilaksanakan melalui 13 siri di seluruh negara dengan sasaran penyertaan seramai 3,000 mahasiswa dan graduan daripada pelbagai institusi pengajian tinggi, program ini turut memberi penekanan kepada penggunaan teknologi digital termasuk AI bagi mempercepatkan proses penyelidikan, pembangunan idea, penghasilan prototaip dan pengesahan model perniagaan.
“Sehingga kini, Jaguh telah berjaya menghimpunkan seramai 2,189 mahasiswa dan graduan daripada 149 Institusi Pengajian Tinggi di seluruh negara.
“Dengan kerjasama INSKEN selaku agensi pelaksana, institusi-institusi pengajian tinggi dari seluruh Zon Utara, para mentor, serta rakan strategik industri dan Sektor Keusahawanan & Inovasi, Pusat Pembangunan Pelajar, BHEPA USM selaku tuan rumah telah berjaya menghimpunkan seramai 225 mahasiswa daripada lapan institusi pengajian tinggi (IPT) sekitar Pulau Pinang," ujarnya lagi.
Sementara itu, Naib Canselor, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, program seperti ini amat bertepatan dengan landskap ekonomi dan dunia pekerjaan yang semakin dinamik serta mencabar.
“Tumpuan kepada sektor High Growth High Value, Ekonomi Jingga dan Ekonomi Biru seperti bidang teknologi digital, kejuruteraan, kandungan kreatif, maritim, logistik serta agromakanan menawarkan peluang yang amat luas kepada bakat-bakat muda untuk berkembang dan menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya.
Turut hadir bersama ialah Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahya Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Dr. Hazrul Abdul Hamid, Timbalan Pengarah, Pusat Pembangunan Pelajar USM, Puan Elya Marini Darmin, Timbalan Setiausaha Bahagian, Seksyen Latihan dan Pembudayaan Keusahawanan, barisan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, barisan pegawai-pegawai utama Institut Pengajian Tinggi Zon Utara dan Ahli-ahli Jawatankuasa Program Jaguh Keusahawanan Nasional Siri 12/2026.