Skip to main content
Komponen Generik MyCSD | Keusahawanan

Projek Beranda Limas USM-UTC3.0 Bawa Misi Keusahawanan Sosial, Perkasa 50 Prospek Penjara Kajang

Oleh : Cik Nurasyura Suhaimi, IKMAR USM
Suntingan : Puan Hajar Zituakmar Mohd Fauzi, Ketua Sektor Keusahawanan dan Inovasi, Pusat Pembangunan Pelajar
Foto: Unit Pentadbiran Penjara Kajang, Jabatan Penjara Malaysia
KAJANG, 1 Ogos 2026 :- Seramai 50 prospek Penjara Kajang berpeluang mengikuti Program USM UTC 3.0 - Pemindahan Ilmu Keusahawanan Sosial Kepada Komuniti Prospek yang dilaksanakan oleh Ikatan Mahasiswa/i Johor (IKMAR) USM dengan kerjasama Sektor Keusahawanan dan Inovasi BHEPA menerusi Projek Beranda Limas USM- UTC 3.0.

Program ini dimulakan dengan sesi pengenalan oleh saudara Amirul Feroz selaku Ketua Projek Beranda Limas sebelum diteruskan dengan ceramah keusahawanan bertajuk “Dari Pengalaman Hidup kepada Peluang Pendapatan” yang disampaikan oleh Dr. Malik Yatam.

Beliau berperanan sebagai Jurulatih Keusahawanan dan Mentor Transformasi Sosial yang bekerjasama dalam menjayakan misi projek Beranda Limas.

Pemilihan beliau adalah berdasarkan ketokohan beliau dalam usaha pembangunan pendidikan dan ekonomi kendiri melalui perniagaan serta ladang cili di samping mewujudkan peluang pekerjaan kepada bekas banduan lain.
Sesi ini diakhiri dengan perkongsian oleh Encik Luqman Jasni mengenai kemudahan pembiayaan perniagaan oleh agensi-agensi yang tersedia seperti MARA dan lain-lain.

Melalui program ini, Puan Hajar Zituakmar Mohd Fauzi selaku mentor projek menegaskan komitmen Sektor Keusahawanan dan Inovasi terhadap keusahawanan sosial dengan menekankan bahawa setiap produk yang dijual oleh IKMAR USM di premis inkubator membawa nilai sosial dan mesej pemerkasaan.

Banduan dilibatkan sebagai co-creator nilai, bukan sekadar tenaga kerja, keuntungan digunakan semula bagi memperkukuh latihan dan sokongan peserta, serta perniagaan dijadikan medium pemulihan, pendidikan dan pembangunan jati diri.

Inisiatif ini menyokong secara langsung 5 SDG utama iaitu SDG 1: Tiada Kemiskinan, SDG 4: Pendidikan Berkualiti, SDG 8: Pekerjaan Layak dan Pertumbuhan Ekonomi, SDG 10: Mengurangkan Ketidaksamarataan, SDG 16: Keamanan, Keadilan dan Institusi Kukuh.

Program ini turut melibatkan kerjasama KOSISWA Kampus Kesihatan yang diketuai oleh Encik Mohd Norzulhairie serta empat (4) orang mahasiswa ahli KOSISWA tersebut dengan peranan sebagai saluran pengedaran produk sejuk beku penjara terlibat.

Berdasarkan rekod Jabatan Penjara Malaysia, jumlah banduan di seluruh penjara di Malaysia sehingga 24 Jun 2026 adalah 83,771 orang dan seramai 6,211 orang prospek menjalani program pemulihan dalam komuniti.

Pendekatan sebegini turut menyokong aspirasi Jabatan Penjara Malaysia yang memperluaskan latihan keusahawanan sebagai persediaan  bagi prospek kembali ke masyarakat. 

Pihak IKMAR USM berharap kerjasama yang terjalin bersama Penjara Kajang akan terus diperkukuh demi melahirkan lebih ramai individu yang berdaya saing, berdikari dan mampu menjana pendapatan secara halal melalui bidang keusahawanan.

“Setiap produk dijual, satu stigma dirobohkan. Sokong kami bukan sekadar membeli makanan, tetapi membeli peluang kedua," kata wakil IKMAR lagi.