TPL_YOOTHEME_SKIP_TO_MAIN_CONTENT
Komponen Generik MyCSD | Kerjaya

USM Perkukuh Jaringan Industri Menerusi TALENTBANK Graduates’ Choice Award 2026

Oleh : Encik Mohd Hafiz Ali bin Mohd Anuar, Ketua Unit Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin
Foto : Talentbank Graduates’ Choice Award (GCA) 2026
Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA
PULAU PINANG, 15 November 2026 :- Universiti Sains Malaysia diberi penghormatan untuk menyampaikan anugerah kepada majikan pilihan mahasiswa sempena Talentbank Graduates’ Choice Award (GCA) 2026.

USM diwakili oleh YBhg. Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, sebagai penyampai anugerah dalam majlis tersebut.

Majlis ini dirasmikan oleh Encik Ahmad Rizal bin Adnan, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Majlis turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Talentbank dengan KPT bagi memperkukuh kerjasama dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan.

Anugerah anjuran Talentbank ini mengiktiraf organisasi yang menjadi pilihan mahasiswa untuk memulakan kerjaya, dengan keputusan ditentukan sepenuhnya melalui undian pelajar universiti.

Pengiktirafan ini turut memberikan gambaran tentang daya tarikan majikan serta aspirasi generasi muda terhadap dunia pekerjaan.

Antara organisasi yang tersenarai dalam kelompok Top 1% majikan pilihan mahasiswa bagi 2026 ialah Maybank, PETRONAS, Shopee Malaysia, EY, CIMB, KPMG in Malaysia, Maxis dan Huawei Malaysia.

Senarai penerima pengiktirafan turut merangkumi pelbagai sektor, termasuk perbankan, perkhidmatan profesional, teknologi, kejuruteraan, pembuatan dan telekomunikasi.

Dalam bidang yang berkaitan dengan kejuruteraan, antara penerima pengiktirafan ialah PETRONAS dan SLB bagi kategori Kejuruteraan, Western Digital bagi kategori Elektronik, serta Western Digital dan Infineon bagi kategori Semikonduktor.
Turut hadir mewakili USM ialah Profesor Dr. Azizah Omar, Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar BHEPA; Encik Mohd Hafiz Ali bin Mohd Anuar, Ketua Unit Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin; serta Saudara Azfar Al Hafiz bin Azman, mantan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USM.

Penglibatan USM dalam majlis ini membuka ruang untuk memperkukuh hubungan dengan pemain industri serta meneroka kerjasama dalam pembangunan bakat, latihan industri dan peluang pekerjaan graduan.

Hubungan erat antara universiti dengan majikan menjadi asas penting dalam memastikan persediaan kerjaya mahasiswa terus relevan dengan keperluan semasa industri.

Usaha ini turut selari dengan aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya *SDG 4: Pendidikan Berkualiti* melalui pengukuhan kemahiran dan persediaan kerjaya mahasiswa; *SDG 8: Pekerjaan Layak dan Pertumbuhan Ekonomi* melalui peluasan akses kepada peluang pekerjaan berkualiti; serta *SDG 17: Perkongsian untuk Matlamat* menerusi kerjasama antara universiti, kerajaan dan industri dalam menyokong kebolehpasaran graduan.