TPL_YOOTHEME_SKIP_TO_MAIN_CONTENT
Komponen Generik MyCSD | Kepimpinan

Sinergi USM–Broadcom Perkasa Bakat dan Laluan Kerjaya Mahasiswa

Oleh : Siti Ruhaida Mohamed Radhi, Unit Media dan Penerbitan BHEPA
PULAU PINANG, 20 November 2026 – Dua penerima biasiswa Broadcom Inc. daripada Universiti Sains Malaysia bertuah apabila berpeluang mengadakan sesi pertemuan dan perbincangan bersama Presiden Broadcom Foundation, Paula Golden, di premis Broadcom Inc., Pulau Pinang.

Peluang bermakna yang diperoleh pelajar tahun akhir Pusat Pengajian Sains Fizik (penerima tahun 2024) Yeo Jia Jun dan pelajar tahun 2 Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia, Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin, Rukesh Pillai (penerima tahun 2025) telah membuka ruang interaksi secara langsung bersama kepimpinan tertinggi yayasan berkenaan.

Dalam sesi tersebut, Paula menggariskan hala tuju serta inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Broadcom Foundation di samping menzahirkan hasrat untuk melibat aktifkan para penerima biasiswa USM dalam pelbagai program kemasyarakatan dan teknologi anjuran yayasan itu kelak.
Pada masa yang sama, pihak Broadcom Inc. turut mengemukakan tawaran penempatan latihan industri kepada kedua-dua penerima biasiswa berkenaan sekali gus membuka laluan kerjaya yang cerah bersama peneraju semikonduktor global itu selepas mereka menamatkan pengajian.

Turut hadir dalam sesi berkenaan ialah Pengarah Hab Pengedaran Global dan Logistik Bahagian Rantaian Bekalan Semikonduktor Tanpa Wayar Broadcom, Dr. Sazani Shafie dan Ketua Unit Kebajikan Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) USM, Siti Meszaida Mohd Ehsan.

Menerusi kerjasama strategik bersama Penang Science Cluster (PSC) sejak tahun 2020, Broadcom Foundation terus komited memacu pembangunan bakat kecerdasan buatan (AI) di Malaysia dengan memperkukuh literasi digital, penguasaan teknologi dan pengaturcaraan, selain memupuk pemikiran kritis, kreatif serta inovatif dalam kalangan pelajar dan tenaga pendidik melalui inisiatif seperti Experience AI dan Malaysia National AI Challenge demi melahirkan generasi celik teknologi yang kalis masa hadapan.

Sinergi berterusan antara pihak industri dan universiti ini menterjemahkan komitmen utuh USM dalam memperkasa pembangunan holistik mahasiswa serta mendokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 4 (Pendidikan Berkualiti) dan SDG 8 (Pekerjaan yang Sesuai dan Pertumbuhan Ekonomi).