Komponen Generik MyCSD | Reka Cipta dan Inovasi
Pelajar Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam Juara 2nd 4D BIM Competition 2026
Oleh : Wakil peserta 2nd 4D BIM Competition 2026
Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA
PULAU PINANG, 17 September 2026 :- Dua kumpulan pelajar dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam (PPKA), Universiti Sains Malaysia melakar kejayaan cemerlang apabila berjaya merangkul gelaran juara serta tersenarai dalam kelompok Top 10 pada pusingan akhir 2nd 4D BIM Competition 2026 yang berlangsung di MyBIM Centre, Sunway Putra di sini, baru-baru ini.
Pertandingan berprestij anjuran CIDB Digital dengan kerjasama strategik PETRONAS, Pertubuhan BIM Malaysia, dan Bentley ini menyaksikan Team RUWA yang dianggotai oleh Muhammad Afif Uzair Hirmizan dan Gusti Ekhwan Iskandar Gusti Anuar dinobatkan sebagai juara pertandingan tersebut.
Hasil didikan oleh Ts. Dr. Mohamad Al-Zaim bin Omar dari PPKA USM yang bertindak sebagai pensyarah penyelia dan pengiring rasmi pasukan, kejayaan itu lebih bermakna kerana kedua-duanya merupakan pelajar Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam USM yang membangunkan kemahiran perisian Bentley SYNCHRO 4D yang sebahagian besarnya menerusi usaha pembelajaran kendiri serta bimbingan penyelia.
Sementara itu, satu lagi wakil USM iaitu Team TT yang dibarisi oleh Tan Hoong Guan dan Teoh Wei Zhi turut mempamerkan prestasi cemerlang dengan mara ke peringkat akhir dan tersenarai dalam Top 10 daripada keseluruhan tujuh kumpulan PPKA yang menyertai peringkat awal.
Program ini diadakan bertujuan memberi pendedahan kepada mahasiswa terhadap aplikasi teknologi 4D Building Information Modelling (BIM) dalam perancangan pembinaan moden.
Menerusi pertandingan ini, para peserta mengintegrasikan jadual pembinaan dengan model 3D menggunakan perisian Bentley SYNCHRO 4D.
Ini membolehkan mereka memvisualisasikan urutan kerja berdasarkan masa, menyelaraskan aktiviti pembinaan, serta mengenal pasti potensi pertembungan (clash) dan isu pelaksanaan lebih awal sebelum kerja-kerja pembinaan sebenar dijalankan.
Pada peringkat akhir, para peserta diuji melalui pembentangan serta sesi mempertahankan hasil kerja di hadapan panel juri profesional dan wakil industri. Inisiatif ini secara langsung membina kemahiran penting seperti penjadualan, urutan pembinaan (construction sequencing), koordinasi, penyelesaian masalah, kerja berpasukan, dan kemahiran komunikasi teknikal.
Pada hari pertandingan iaitu 12 September 2026, barisan wakil industri dan organisasi turut hadir memberikan sokongan, antaranya ialah Ketua Bahagian Pembangunan Perniagaan CIDB Digital, Sharifuddin Umar; wakil PETRONAS, En. Nasrul; Pengerusi Pertubuhan BIM Malaysia, Ts. Razak Wong Chen Keng; Pengurus Kanan Akaun Bentley, Mr Vincent Chong; serta Setiausaha Pertubuhan BIM Malaysia, Mr Muhammad Iyas bin Mahzan.
Susulan kemenangan gemilang tersebut, pada 14 September 2026, Team RUWA telah dijemput khas menghadiri Majlis Makan Malam & Anugerah Apresiasi BIM Malaysia sempena sambutan Malaysia BIM Day 2026 yang diadakan di Dewan Seri Siantan, Kompleks Perbadanan Putrajaya, Presint 3, Putrajaya.
Antara tetamu kehormat yang hadir menyerikan majlis Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan; Pengerusi CIDB Malaysia, YB Dato’ Ir. Haji Yusuf bin Haji Abdul Wahab; Ketua Eksekutif CIDB Malaysia, Sr Ahmad Farrin Mokhtar; Presiden Perbadanan Putrajaya, Dato’ Haji Sakeri bin Abdul Kadir; serta Timbalan Ketua Setiausaha (Sektor Dasar dan Pembangunan), YBhg. Datuk Dr. Khairus Masnan bin Abdul Khalid.