TPL_YOOTHEME_SKIP_TO_MAIN_CONTENT
Komponen Generik MyCSD | Kepimpinan

19 Mahasiswa Kampus Kejuruteraan USM Serlah Potensi di ESTCON 2026

Oleh : Delegasi Young Leaders Programme (YLP),
Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA
PULAU PINANG, 12 September 2026 – Seramai 19 mahasiswa dari Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) menimba pengalaman berharga apabila menyertai Young Leaders Programme (YLP) sempena kongres berskala global, World Engineering, Science and Technology Congress (ESTCON) 2026 di Pusat Konvensyen Persisiran Pantai Pulau Pinang (PWCC) pada 8 hingga 9 September lalu.

Delegasi USM yang diiringi oleh Pegawai Kebudayaan Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni, Encik Mohd Nur Badri Bin Mohd Nazli, berpeluang mengetengahkan idea bernas menerusi sesi pembentangan penyelesaian (solution pitching) berimpak tinggi di hadapan Naib Presiden Kanan Perniagaan dan Ketua Pegawai Operasi (COO) Universiti Teknologi PETRONAS (UTP), Puan Noriani Yati Mohamad.
Menerusi program tersebut, para mahasiswa didedahkan dengan metodologi pemikiran reka bentuk (Design Thinking) dan konsep peralihan adil (Just Transition). Mereka turut diuji menerusi tiga kajian kes utama iaitu Keselamatan Tenaga (Energy Security), Masa Depan Regeneratif (Regenerative Futures), dan Kehidupan Mampan (Sustainable Living).

Pendedahan ini secara langsung mengasah keupayaan mahasiswa USM merangka penyelesaian teknikal yang realistik, berdaya saing, dan inklusif demi masa depan negara.

Kongres prestij anjuran UTP itu telah menghimpunkan barisan penyelidik, tokoh akademik, serta pemain industri global seperti PETRONAS, Imperial College London, and University of Geneva. Majlis perasmiannya disempurnakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), YB Datuk Chang Lih Kang bersama Canselor UTP, YBhg Tan Sri Dr. Mohd Hassan Merican, manakala majlis penutupan disempurnakan oleh Presiden UTP, Ir. Mohamed Firouz Asnan.