TPL_YOOTHEME_SKIP_TO_MAIN_CONTENT
Komponen Generik MyCSD | Kepimpinan

Faiq Amrullah Bawa Suara USM ke Pentas Belia Serantau

Oleh : Faiq Amrullah Nor Idham, Tahun 3 Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia
Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA
PULAU PINANG, 9 September 2026 – Faiq Amrullah Nor Idham, mahasiswa Tahun 3 Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia, Universiti Sains Malaysia, mengorak langkah ke pentas belia serantau menerusi penyertaannya dalam SEA Youth Summit 2026 yang berlangsung di 360 Hall, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Sunway University @ Sunway Square Mall.

SEA Youth Summit 2026 anjuran KiniEvents dengan kerjasama Delegasi Kesatuan Eropah ke Malaysia dan Institut Belia MIDP itu menghimpunkan mahasiswa daripada Universiti Awam (UA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dari 10 negara Asia Tenggara, iaitu Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand, Filipina, Brunei, Vietnam, Myanmar, Kemboja dan Laos, pada 3 September 2026 lalu.

Program tersebut turut menampilkan barisan pemimpin dan tokoh antarabangsa apabila majlis perasmian disempurnakan oleh Osman Bin Mohammad Sanny, Pengurus Besar Tenaga Nasional Berhad (TNB), manakala majlis penutupan pula disempurnakan oleh Encik Alexander Melamed, Pegawai Politik dan Komunikasi, Delegasi Kesatuan Eropah ke Malaysia.

Sepanjang program, Faiq memperkaya pengalaman kepimpinannya menerusi dua sesi Youth Debate yang mengupas isu AI Safety Regulations dan Renewable Energy, selain menyertai Breakout Sessions dalam tiga bidang utama iaitu Alam Sekitar (Environmental), Keusahawanan (Entrepreneurship) dan Pendidikan (Education), sekali gus mengasah pemikiran kritis, kemahiran berhujah serta keupayaan memahami isu semasa dalam konteks serantau.

Penyertaan Faiq dalam wacana serantau sebegini memperkukuh peranan generasi muda sebagai pemikir, penggerak dan pemimpin masa hadapan yang berupaya merentas sempadan dalam mencorakkan penyelesaian terhadap cabaran serantau serta membina masa depan yang lebih mampan dan inklusif.