OUTSHINE 3.0: MAHASISWA USM PERKASA AGENDA KELESTARIAN DAN KEPIMPINAN GLOBAL DI TURKIYE
USM PULAU PINANG, 23 Februari 2026 :- Program mobiliti antarabangsa OUTSHINE 3.0 membuktikan bahawa mahasiswa Universiti Sains Malaysia bukan sekadar peserta, malah merupakan pemangkin utama dalam membina jambatan kepimpinan global berasaskan pada salah satu dari 6 teras hala tuju strategik BHEPA.
Membawa tema “Global Citizenship: Mobilizing Young Leaders For A Sustainable Tomorrow”, program ini telah berjaya memperkukuh jaringan strategik antara USM dengan dua universiti terkemuka di Istanbul, Turkiye pada 16-22 Februari 2026 baru-baru ini.
Selaras dengan aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 4: Pendidikan Berkualiti dan SDG 17: Perkongsian untuk Matlamat), program ini menonjolkan keupayaan pelajar dalam menggerakkan koordinasi antara universiti sepenuhnya sekali gus membuktikan bahawa mahasiswa bukan sekadar peserta program, tetapi pemangkin hubungan antarabangsa dan duta kecil yang membawa nama universiti serta negara ke persada global.
Diketuai oleh Dr. Abdul Rais Abdul Latiff, Pengerusi Majlis Penghuni Desasiswa bersama 29 pelajar USM yang terdiri daripada ahli Majlis Penghuni Desasiswa, Encik Shukeri A. Rahaman, Timbalan Pendaftar Kanan BHEPA, barisan Penggawa dan Penolong Penggawa Desasiswa dan wakil dari Pusat Perumahan dan Penginapan Universiti.
Kehadiran delegasi USM ke Turkiye turut diperkukuh dengan perbincangan kolaborasi berimpak tinggi yang dipimpin oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni USM, Prof. Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya bersama barisan pensyarah pakar dari ketiga-tiga kampus utama (Induk, Kesihatan, dan Kejuruteraan).
Di Marmara University, delegasi telah disambut oleh Prof. Yusof, Dekan Fakulti Pendidikan Ataturk. Sesi perbincangan memberi tumpuan kepada aktiviti pembangunan pelajar, peluang kolaborasi masa hadapan serta penyediaan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Marmara University dan Universiti Sains Malaysia sebagai langkah strategik memperkukuh hubungan dua hala.
Manakala di Istanbul Gelisim University, delegasi telah mengadakan pertemuan bersama Timbalan Dekan, Prof. Madya Ozlem Tugce Keles dan Prof. Madya Sajedeh Norozpour. Perbincangan tertumpu kepada potensi mobiliti pelajar, pertukaran akademik, penyelidikan bersama serta integrasi elemen kelestarian dalam program universiti.
Kemuncak lawatan diserikan dengan kunjungan hormat dan majlis berbuka puasa di Konsulat Jeneral Malaysia di Istanbul. Consul General (CG), Tuan Ahmad Amiri Abu Bakar, memuji inisiatif ini yang mengangkat peranan mahasiswa sebagai 'duta kecil' negara.