TPL_YOOTHEME_SKIP_TO_MAIN_CONTENT
Komponen Generik MyCSD | Reka Cipta dan Inovasi

Pasukan NextMILE USM Antara yang Terbaik, Kee Qiu Ling Ungguli Social Media Influencer Award PBCSC 2026

Oleh : Sektor Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan, Pusat Pembangunan Pelajar, BHEPA
Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA
PULAU PINANG, 26 Oktober 2026 :- Mahasiswa tahun akhir Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik, Universiti Sains Malaysia, Kee Qiu Ling dinobatkan sebagai juara kategori Social Media Influencer Award dalam pertandingan berprestij PROTON Business Case Study Challenge (PBCSC) 2026 yang berlangsung selama tiga hari, bermula 23 Oktober 2026 di Zenith Hotel, Putrajaya.

Kejayaan tersebut turut dilengkapi dengan pencapaian pasukan NextMILE yang diwakili Kee Qiu Ling bersama-sama Darren Tong Kai Xuan dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik dan Colin Hoh Rui Rong dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, yang kedua-duanya merupakan mahasiswa tahun akhir, apabila berjaya menempatkan diri dalam kelompok 12 pasukan terbaik daripada keseluruhan 56 pasukan yang mewakili 33 universiti di seluruh negara.
PBCSC 2026 merupakan pertandingan kajian kes perniagaan peringkat kebangsaan anjuran PROTON dengan kerjasama strategik Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), yang menyediakan platform kepada mahasiswa tahun akhir untuk mengetengahkan idea inovatif, mengaplikasikan pengetahuan akademik dan merangka penyelesaian kreatif bagi menangani cabaran sebenar dalam dunia perniagaan serta industri automotif.

Selepas melepasi saringan awal secara dalam talian, pasukan NextMILE yang diiringi oleh Cik Nur 'Aqila Badrul Hisham, Pegawai Tadbir Sektor Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan, Pusat Pembangunan Pelajar, BHEPA USM, berjaya melayakkan diri ke pusingan fizikal sebagai antara 18 pasukan terbaik.

Majlis perasmian pertandingan disempurnakan oleh Dr. Kasuma Satria, Ketua Pegawai Sumber Manusia PROTON Malaysia, dengan sokongan barisan juri berpengalaman daripada industri dan akademia, termasuk Ir. Ts. Dr. Muhammad Ikram Mohd Rashid, Pengarah Centre for Automotive Engineering, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah, serta Ir. Dr. Mohd Azman Abas, Ketua Pegawai Penyelidikan dan Inovasi Malaysia Automotive, Robotics and IoT Institute (MARii).

Pencapaian ini menyerlahkan komitmen USM dalam melahirkan graduan H.E.B.A.T. yang holistik, inovatif dan berdaya saing, berteraskan penguasaan ilmu, ketajaman pemikiran strategik serta keupayaan mengintegrasikan kreativiti dan kompetensi profesional dalam mendepani cabaran industri masa hadapan.

Seluruh warga Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni, Universiti Sains Malaysia merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada pasukan NextMILE khususnya kepada Kee Qiu Ling atas kemenangan dalam kategori Social Media Influencer Award yang menyerlahkan potensi dan kebolehupayaan mahasiswa USM di pentas kebangsaan.